NORZIZI menegaskan bapanya hanya berkahwin seorang dan bukan empat seperti sangkaan segelintir warganet. FOTO Instagram Norzizi Zulkfili
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PELAKON, pengarah teater dan pensyarah, Dr Norzizi Zulkifli menjelaskan salah faham yang berlaku dalam kalangan warganet dengan mengecam bapanya berkahwin empat adalah tidak tepat sama sekali.

Dr Norzizi, 43, berkata bapanya yang juga pelakon dan seniman veteran, Datuk Zulkifli Zain, 73, hingga kini masih kekal dengan seorang isteri, Datin Normala Omar, 61.

"Bapa saya tidak pernah berkahwin empat. Beliau bercakap kalaulah dia mempunyai empat isteri sekalipun, tidak akan mampu menjaga beliau yang lumpuh ini dengan begitu baik sekali.

“Oleh kerana itu, dia mengucapkan terima kasih banyak buat anaknya,” katanya.

Semalam, warganet memberi respon yang silap apabila menyangka Zulkifli berkahwin empat.

Justeru, menurut Dr Norzizi kebanyakan warganet yang tidak tahu cerita banyak mengutuk bapanya di laman Facebook (FB).

Mengimbas latarnya, Zulkifli di era kegemilangannya pernah membintangi drama Tragedi Seri Mersing pada 1985 dan sangat dikenali dengan watak Bentayan.

Bertemu jodoh dengan Normala yang juga pelakon drama Opah sekitar 1975, pasangan bahagia itu dikurniakan lima cahaya mata.

Selain Dr Norzizi, adik beradiknya yang lain ialah Norzaza, 38; Norzazila, 36; Norzazleen, 33, dan Mohd Noor Zabaiq, 29.

Pada sekitar era 1970-an dan 1980-an, Zulkifli pernah membintangi filem Jiwa Remaja, Potret Maria, Penentuan dan banyak lagi.

Berasal dari Alor Setar, Kedah, di atas sumbangan pada karier seni diceburi, Zulkifli dianugerahkan gelaran Datuk oleh kerajaan negeri Kedah.

Semalam, Dr Norzizi berkongsi foto di Instagram, dia dalam kesedihan bersama bapanya yang mendapat rawatan di hospital.

Dengan kapsyen ditulis, selepas sarapan pagi, duduk di katil kena picit lutut dia, sekali lagi papa ulang suruh beritahu adik dia ucap terima kasih.

"Kata papa, empat isteri pun tak mampu jaga macam mana anak uruskan dia dan mama. Macam-macam lagilah yang dia cakap," tulisnya.

Berikutan tiadanya perkataan 'kalau' itu, rata-rata warganet yang memberi komen bertindak mengecam kerana beranggapan Zulkifli berkahwin empat.

Berita berkaitan

'Empat isteri tak mampu jaga macam anak'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 9:33 PM