EYRA bersyukur Haziq tidak melarangnya untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan selepas berkahwin. FOTO Mahzir Mat Isa
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Eyra Hazali yang bakal bergelar isteri pada November ini memberitahu dia akan menetap di Johor bersama bakal suaminya yang juga pemain bola sepak JDT, Muhammad Haziq Nadzli.

Eyra berkata, meskipun belum bersedia sepenuhnya untuk berhijrah ke Johor selepas ini, dia bagaimanapun akan cuba sedaya upaya bagi menyesuaikan diri dengan keadaan di sana.

"Memang berdebar untuk memulakan kehidupan baru pada November ini, lebih-lebih lagi saya bakal menetap di Johor bersama bakal suami nanti.

"Kalau nak cakap 100 peratus bersedia memang belum lagi, tapi saya akan ambil ini sebagai satu cabaran dan tanggungjawab baru apabila bakal menjadi isteri.

"Bagaimanapun saya ada berbincang dengan Haziq untuk tidak menetap di Johor sebaik kami mendirikan rumah tangga kerana ada beberapa urusan yang perlu diselesaikan dulu," katanya.

Menurutnya, dia bersyukur Haziq tidak melarangnya untuk terus bergiat aktif dalam bidang lakonan namun ada satu syarat yang perlu dia patuhi.

"Selepas berkahwin saya dan Haziq sudah ada beberapa perancangan yang ingin dibuat. Haziq menyokong penuh kerjaya seni saya dan tak kisah untuk terima sebarang tawaran yang datang.

"Namun dia ada satu syarat iaitu ibu saya perlu sentiasa berada di sisi sebagai pengurus peribadi. Selebihnya, dia menyerahkan kepada saya untuk menerima apa saja tawaran yang datang," katanya.

Ditanya bilakah tarikh rasmi dia dan Haziq disatukan sebagai suami isteri, Eyra memberitahu dia bakal berkahwin awal November sahaja.

Eyra, 20, mengikat tali pertunangan dengan Haziq, 21, pada 1 Disember 2018.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:16 PM