RISTEENA tidak sempat langsung hendak memberhentikan kereta kerana jarak antara kenderaan terlalu dekat. FOTO Rohanis Shukri
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


PELAKON Risteena Munim kini trauma sehingga membuatkan dia berasa takut untuk memandu kereta selepas terbabit dalam kemalangan pada 15 September lalu.

Kata Risteena atau nama sebenarnya Nur Risteena Munim Zainul Ilyas, 30, dia turut berasa sedih kerana ibunya perlu dibedah disebabkan patah pergelangan tangan akibat kemalangan itu.

“Alhamdulillah keadaan kami yang terbabit dalam kemalangan semuanya okey, cuma saya terkilan bila pergelangan mama patah dan bakal menjalani pembedahan dalam masa terdekat,” katanya.

Menurutnya, dia juga turut risau keadaan adik dan ayahnya yang mengalami hantukan kuat. Bagaimanapun selepas menjalani pemeriksaan doktor, tiada perkara yang serius berlaku.

“Syukur keadaan saya juga baik, cuma berlaku sedikit lebam kesan hentakan kuat,” katanya.

Menjelaskan mengenai kemalangan berhampiran Institut Jantung Negara, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu katanya, kejadian berlaku akibat kereta yang tiba-tiba datang dari arah depan secara melintang.

“Saya tidak sempat langsung hendak memberhentikan kereta kerana jarak antara kenderaan terlalu dekat. Hentakan terlalu kuat. Walaupun saya berusaha meminimumkan pelanggaran dan kepala sudah berada di atas papan pemuka.

“Alhamdulillah saya berjaya mengawal stereng daripada masuk ke jalan sebelah yang melawan arus. Malah kereta diseret ke jalan sebelah kiri dan terhenti sendiri,” katanya.

Kata Risteena dalam berdepan dengan situasi yang mencengkam, dia berasa bersemangat apabila melihat semua ahli keluarganya sedar dan mampu berjalan sendiri.

“Saya rasa luluh hati apabila mengetahui pergelangan tangan mama patah tapi saya cuba kuatkan diri supaya tidak panik dan dapat mengawal keadaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 8:07 PM