EFFA sukar bercakap, berbaring mahupun berjalan kerana cepat terasa penat. FOTO Ihsan Effa Nareesha
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PELAKON Effa Nareesha dikejarkan ke Hospital Shah Alam pada Selasa lalu selepas mengalami serangan jantung yang serius.

Effa, 41, atau nama sebenarnya Effa Nareesha Muhammed berkata, kejadian dialaminya bermula sejak 6 September lalu selepas dia keluar makan dengan beberapa rakannya di Pandan Indah, Ampang.

“Tiba-tiba bahagian dada terasa berat dan sesak nafas membuatkan saya hilang suara selama dua minggu.

“Kemudiannya, rakan paksa saya pergi buat pemeriksaan di hospital terdekat. Pada mulanya saya enggan. Tapi apabila tengok keadaan diri yang susah nak bernafas dan pandangan kabur serta nak pitam, saya akhirnya ikut cakap mereka.

“Saya dirujuk ke wad kecemasan Hospital Ampang tapi enggan ditahan di sana, lebih-lebih lagi pihak hospital memaklumkan katil penuh,” katanya kepada Harian Metro.

Katanya, dia minta dibenarkan pulang untuk berehat di rumah atas risiko sendiri kerana mempunyai bayi yang masih kecil.

“Malam 17 September lalu, saya rasa sakit bahagian belakang dengan bahagian dada menyucuk-nyucuk.

“Kuku dah biru, tangan kiri kebas dan rasa bisa. Badan berpeluh dan akhirnya minta tolong seorang rakan bawa saya ke Hospital Shah Alam kerana rekod perubatan sakit jantung ada di sini.

“Doktor beritahu jantung saya bengkak dan berada dalam tahap bahaya sekarang sekiranya tak buat apa-apa pembedahan dan rawatan susulan,” katanya.

Pelakon yang pernah membintangi pelbagai drama antaranya Penjara Seorang Isteri, Doa Depan Kaabah dan filem Khurafat, Kongsi serta Ngangkung kini ditahan di wad dan dalam tempoh itu doktor akan memasukkan ubat untuk cairkan darah di perutnya serta memantau perkembangan jantungnya.

“Saya sukar nak bercakap, berbaring mahupun berjalan kerana cepat terasa penat. Saya mula dikesan ada sakit jantung sejak 1997 dan pernah dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) selepas pengsan tak sedarkan diri selama tiga hari pada tahun sama.

“Saya pilih masuk Hospital Shah Alam kerana berdekatan rumah emak di sana. Untuk kos pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN), saya kena sediakan lebih RM60,000.

“Pihak Hospital Shah Alam akan rujuk kes ini ke Hospital Serdang kerana di situ menempatkan pakar kardiologi. Namun kosnya saya belum tahu lagi,” katanya yang turut aktif berniaga produk makanan kering menerusi pertubuhan Gagasan Anak Seni (GTAS) dan secara atas talian.

Effa berstatus ibu tunggal mempunyai empat anak iaitu dua lelaki dan dua perempuan berusia 17, 16, 15 tahun dan setahun lapan bulan mendakwa sudah berhabis hampir RM100,000 untuk rawatan sakit jantung yang dideritainya.

“Saya berterima kasih kepada Presiden GTAS, Anne Abdullah yang sangat menjaga kebajikan ahlinya.

“Begitu juga rakan artis seperti Nadia Kesumawati, Azura Aziz dan Ratna yang sanggup tahan mata jaga saya dari tengah malam sampai pagi.

“Terima kasih juga buat rakan artis yang buat sumbangan. Saya mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak mahu membantu meringankan beban yang ditanggung saya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 6:51 PM
Skip this ad x