MAYA terpanggil untuk mengutarakan rasa kesalnya disebabkan sangat prihatin dengan rakyat negara ini terutamanya. FOTO Nurul Shafina Jemenon
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


AKTRES dan penyanyi Maya Karin mengakui status yang ditulisnya di Twitter baru-baru ini berunsur provokasi positif dengan harapan krisis jerebu teruk melanda negara sekarang dapat menemui jalan penyelesaian terbaik.

Maya, 39, berkata dia tidak mahu berdiam diri dan harus menyuarakan kebimbangannya terhadap isu yang saban tahun berulang itu disebabkan impak buruk ditinggalkan kepada masyarakat sangat besar.

“Saya tiba-tiba tergerak hati nak ‘tweet’ pasal kekecewaan kita mengalami jerebu saban tahun sejak 1997 dan sudah lebih 20 tahun berlaku. Saya tak nampak pun ahli politik Malaysia atau Singapura bersungguh membantah atau ada yang komen tapi saya terlepas pandang.

“Anak kecil kita, tak pasti bagaimana di Singapura dan Brunei, tidak boleh pergi sekolah bahkan setiap hari makin banyak sekolah tutup. Ia merisaukan ibu bapa yang bekerja apabila serba salah nak tinggalkan anak di rumah.

“Situasi ini turut memudaratkan kesihatan masyarakat tapi tiada tindakan drastik pun dilaksanakan,” katanya.

Pelakon Pontianak Harum Sundal Malam itu menambah dia terpanggil untuk mengutarakan rasa kesalnya disebabkan sangat prihatin dengan rakyat negara ini terutamanya.

“Bagi saya, cukup-cukuplah, mungkin ini satu provokasi tapi provokasi penting untuk melaksanakan atau desakan supaya demi melakukan perubahan. Kalau duduk diam saja, sampai bila?

“Kena tunggu sampai semua hutan di Indonesia habis dibakar, barulah kes ini berhentikah? Itu tindakan yang salah,” katanya kepada Harian Metro.

Maya juga bersyukur apabila statusnya itu mendapat perhatian lebih sejuta orang dan berharap membuka mata kepada pihak berwajib untuk tampil dengan tindakan yang sepatutnya.

“Daripada ‘tweet’ ini, ada segelintir saja yang menyifatkan status ini sebuah provokasi. Menerusi rekod aktiviti status ini juga, sudah 1 juta capaian yang melihat serta membacanya dan positifnya ramai ambil berat.

“Insya-Allah, buat anak muda yang mungkin baca ‘tweet’ ini, harap ia membakar semangat supaya mereka lebih prihatin terhadap alam sekitar dan betapa pentingnya menjaga alam sekitar untuk kesihatan sejagat. Adakah jerebu bagus untuk kesihatan kita? Tidak sama sekali!,” katanya.

Terdahulu, Maya menulis status di Twitter menyatakan kekecewaannya terhadap krisis jerebu dan turut menyebut nama Presiden Indonesia, Joko Widodo. Status terbabit mendapat lebih 28,600 kicau semula, disukai 20,300 orang dan 228 komen balas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 3:42 PM