LUFYA pakai tudung sebelum kenal dengan suami lagi. FOTO Arkib NSTP
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


"BUKAN saya yang umumkan buka tudung lepas bercerai," kata penyanyi dan pelakon, Lufya Omar bagi menjawab pertanyaan peminat di Instagram (IG).

Penjelasan Lufya, 34, atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar itu disebabkan timbul kekeliruan antara dirinya dengan pelakon kontroversi, Zarina Anjoulie yang mengumumkan membuka tudung di IG semalam.

Menerusi status sama, Lufya berkata, dia mula memakai tudung sebelum berkenalan dengan suami, Dr Che Muhammad Hafiz lagi.

"Saya terpaksa jelaskan sebab ramai yang menghantar mesej peribadi (DM) dan bertanya. Saya pakai tudung sebelum kenal dengan suami lagi. Insya-Allah, akan kekal sampai akhir nafas saya.

"Hijab ini bukan menandakan kita baik, alim atau bagus daripada orang lain. Kita semua pendosa dan bukan maksum.

"Jangan hanya kerana kekecewaan kita terhadap manusia, kita sampai menderhaka kepada perintah Allah. Tanda kiamat sudah semakin banyak," katanya.

Lufya juga berharap peminat dapat mendoakan dirinya supaya terus kuat berdepan dengan segala ujian.

"Buang yang keruh ambil yang jernih. Moga segala ujian yang Allah berikan kepada kita menjadikan kita lebih dekat dengan Allah. Doakan saya kuat," katanya.

Untuk rekod, ini bukan kali pertama peminat keliru antara Lufya dan Zarina.

Malah, ramai juga menganggap mereka seperti adik-beradik kembar.

Berita berkaitan

Saya secara rasmi buka tudung! - Zarina Anjoulie

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 3:29 PM