FIZA Thomas
Oleh Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my

WALAUPUN pembabitannya bermula di pentas nyanyian dalam Akademi Fantasia 2016 (AF2016), namun bidang lakonan yang membuatkan bakat Fiza Thomas bersinar.

Pernah menggunakan nama pentas Afi AF2016, pemilik nama sebenar Nur Hafizah Longkip @ Thomas ini enggan terus bergantung dengan jenama AF.

Fiza yang makin dikenali sebagai pelakon berkata, dia mengambil masa agak lama mencari nama pentas yang sesuai.

“Bukanlah nama Afi itu kurang bagus tetapi saya sudah gunakannya sebagai Afi AF2016. Sampai bila harus berterusan dengan AF? Memang diakui AF adalah platform pertama saya ketengahkan bakat seni, namun kini saya banyak bergerak sendiri. Saya juga makin aktif sebagai pelakon dan nama Fiza Thomas itu amat sesuai,” katanya.

Terdahulu, Fiza menjadi perhatian selepas melakonkan watak Soraya dalam iklan Petronas sempena Aidilfitri lalu iaitu Rendang SoRaya.

Selain berpeluang berlakon drama, Fiza juga mendapat kepercayaan terbabit pementasan teater OlaBola Merdeka Tour yang menjelajah ke empat negeri terpilih.

Pementasan dibawakan Enfiniti (M) Sdn Bhd itu berlangsung sejak sambutan Hari Kebangsaan pada 31 Ogos lalu.

Berbicara pembabitannya, Fiza berkata, dia gembira dan bersyukur dengan peluang berharga dimiliki.

“Sebagai pelakon baru, saya semestinya akan cuba berlakon dengan baik dan enggan mensia-siakan peluang diperoleh. Saya mahu membuktikan bakat lakonan sebenar walaupun masih banyak perlu dipelajari dan dibaiki.

“Bagaimanapun, memperoleh peluang itu sangat penting dan ia bukan mudah terutama pelakon baru seperti saya,” katanya.

Bercerita mengenai nyanyian, Fiza berkata, ia tidak pernah pudar dan dia akan membuat perancangan teliti.

“Saya akan menyanyi tetapi perlu dirancang dengan baik. Ini kerana, saya harapkan kemunculan akan diterima baik,” katanya.

Fiza berkata, penting baginya mendapatkan lagu yang mantap dari segi melodi dan liriknya supaya mesra pendengar dan dimainkan stesen radio.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 September 2019 @ 5:10 AM