YANG di-Pertua Persatuan Pengasih Malaysia, Ramli Abd Samad (tengah) bersama penyanyi, Datuk Jamal (kiri) serta Man Bai. FOTO Mahzir Mat Isa
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


“YANG saya hairan, bila jatuh semua nak ikut. Tapi bila saya bangun semula, tiada yang mahu tengok dan ambil contoh, jadikan sebagai ikutan,” kata penyanyi Datuk Jamal Abdillah mengulas isu penagihan dadah berulang yang berlaku dalam kalangan artis tanah air.

Jamal, 60, mengakui agak sukar untuk bercakap perkara itu kerana tidak mahu memalukan profesion anak seni.

“Sepatutnya mereka fikir, Jamal sudah okey, jadi kenapa aku tak ikut caranya dan bertanya apa yang perlu.

“Saya tiada masalah nak bagi tips sesuai untuk dipraktikkan.

“Masa saya bangun itu, masing-masing ikutlah. Cuba tanya kerana saya pasti akan bantu,” katanya yang ditemui pada sidang media Malam Amal Pengasih @ Cinta Manis di Kuala Lumpur, hari ini.

Jamal dan penyanyi Man Bai akan terbabit menjayakan persembahan Malam Amal Pengasih di Hotel Istana, Kuala Lumpur pada 17 November nanti.

Program yang bakal dihadiri Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selaku penaung bertujuan mengumpul dana untuk menyiapkan fasiliti Rawatan & Pemulihan Dadah Pengasih di Cinta Manis, Bentong, Pahang.

Jamal berkata, tiada orang lain yang dapat mengubah hidup seorang penagih dadah ke arah lebih baik kecuali diri sendiri.

“Kamu buat apa-apa program pun, tapi kalau diri sendiri tak mahu berubah, tak guna juga.

“Banyak pengorbanan yang sangat perlu dilakukan jika nak berubah dan pulih sepenuhnya.

“Kita kena berkorban untuk tak nak rasa keseronokan lagi dan ikut jadual yang ditetapkan. Tak boleh berkawan dengan sebarang orang. Kejayaan ini memerlukan kita buat banyak pengorbanan,” katanya.

Mengulas kenyataan bekas penyanyi kumpulan Exists, Mamat yang mengakui mengambil dadah kerana kesepian dan kurang kasih sayang, Jamal berkata, perkara itu sudah dilaluinya sebelum ini.

“Saya pun sebenarnya sepi sebaik keluar dari Pengasih. Sewaktu keluar, saya kesepian tiada isteri dan sesiapa pun.

“Ketika itu saya dah mula buat bisnes. Saya tinggal di pejabat dan jadikannya sebagai rumah.

“Saya buat penghadang di pejabat dan tinggal bersama anak. Pagi-pagi saya hantar Osama ke sekolah dari pejabat,” katanya.

Menurutnya, dugaan yang mendatanginya ketika itu dilawan dengan tekad kuat.

“Ke universiti mana pun dihantar, tak kiralah pusat pemulihan dari langit sekali pun, takkan boleh berubah kalau kamu sendiri tak nak berubah.

“Tiada orang boleh buat dan mereka hanya boleh tunjukkan jalan sahaja.

“Dalam diri kita, kalau tersirat keinginan untuk ambil dadah semula, memang payah. Tepuk dada tanya selera,” katanya.

Jamal bagaimanapun mengakui, dirinya tidak boleh sombong dengan perubahan positif yang dilaluinya sekarang.

“Saya tak boleh cakap besar kata aku dah okey. Setiap hari saya kena fikir untuk pulih daripada penagihan.

“Bisikan syaitan akan sentiasa datang. Malah dalam tidur pun saya mimpi beli dadah dan hisap.

“Memang semua orang akan rasa. Mungkin pada sebelah siang saya lalu satu tempat yang jadi lokasi ambil dadah, malamnya pasti akan mimpi,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 11:42 PM