Oleh Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


Tidak perlu ikut orang lain dan selesa menjadi diri sendiri. Ini prinsip lima anak muda yang menganggotai kumpulan Iqbal M.

Tanpa mengikut arus pasaran yang klise dengan lagu bertema cinta, kumpulan alternatif rock yang dianggotai Iqbal sebagai penyanyi, Fei (gitar), Jo (gitar), Shah (bass) dan Aidil (dram) ini memilih tampil dengan lagu berkonsepkan isu sosial dan masyarakat.

Perjuangan muzik mereka ternyata berhasil apabila muzik video lagu seperti Antara Dua Darjat dan Paling Cinta Dalam Dunia mendapat tontonan yang baik walaupun tanpa publisiti besar-besaran.

Iqbal berkata, kejujuran yang ditulis dalam lagu mungkin menjadi faktor mereka mempunyai kelompok peminat tersendiri yang digelar ‘moden rokes’. (Modern Rockers).

“Biasanya orang buat lagu tak habis-habis pasal cinta, kisah awek dan sebagainya. Kami bosan dan terfikir buat lagu ini hanya sentuh mengenai cinta sahajakah? Tak boleh pasal benda lain?

“Lagu yang dimainkan di stesen radio pun, kalau satu jam, 10 lagu semuanya mengenai cinta. Penyanyi saja lain dengan tema cinta berbeza,” katanya yang mahu mendidik masyarakat dengan cara sendiri.

Bagi Iqbal M. mereka tidak mempunyai masalah dilabelkan sebagai kumpulan yang agak lantang menyampaikan kritik sosial.

“Kami tak kisah kerana kami tak menyebelahi sesiapa. Kami hanya tampilkan isu secara berkias. Apabila orang dengar, dia mungkin anggap lagu ini kena dengan dirinya. Itulah yang menarik mengenai seni.

“Mungkin ada pihak anggap lagu kami kasar dan sukar mendapat tempat di stesen radio. Bagi saya, kami ‘start’ dan jalan saja perjuangan ini,” kata Iqbal.

Bukan menafikan kepentingan publisiti di stesen radio dan tv, tetapi mereka kental dengan perjuangan sendiri.

“Kami memang mengharapkan publisiti begini tapi dalam masa sama, kami tetap dengan pendirian sendiri. Dari dulu pun, kami buat lagu dan jalan sendiri. Kalau boleh terima kira okey. Ia terpulanglah.

“Kalau dapat sokongan daripada stesen radio dan tv, ia dikira membantu membesarkan lagi nama kami kepada peminat,” katanya yang menjadikan Nirvana dan Butterfingers sebagai pengaruh Iqbal M. dalam muzik.

Menurutnya, lirik-lirik lagu mereka tidak pernah mengajar perkara negatif.

Bermula tahun ini, perjuangan Iqbal M. memasuki fasa baru apabila diterima sebagai artis Luncai Emas milik Datuk M Nasir dan tampil dengan album berjudul PSJKB, Januari lalu.

“PSJKB adalah singkatan dari Perasaan Sedih Janganlah Kau Bimbang. Iqbal M. memang suka gunakan akronim begini kerana jika nak ditulis terlalu panjang. Kami baru selesai sesi promosi album di lima negeri terpilih sebelum Ramadan lalu,” katanya.

Menurutnya, mereka kini dalam perancangan mengadakan persembahan sendiri serta promosi jelajah Borneo, selain menghasilkan barangan cenderahati Iqbal M.

Bercerita mengenai pembabitannya dalam bidang muzik, Iqbal berkata, semuanya bermula apabila dia memilih menyambung pengajian di Fakulti Muzik di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam.

“Saya belajar di UiTM pada 2006 hingga 2009. Asalnya lagu-lagu ini saya hasilkan sebagai bahan tugasan. Apabila bagi kawan-kawan dengar, mereka kata rugi kalau tak terbitkan bagi diketengahkan kepada orang luar,” katanya.

Bermula dari situlah Iqbal mula serius dan menghasilkan EP berjudul Tembak Tepat pada 2010 dan terkejut dengan respons positif yang diterimanya.

“Saya juga mula terima tawaran membuat persembahan di ‘gig’. Masalah mula timbul kerana pemuzik saya mempunyai pelbagai komitmen lain membuatkan saya kerap bertukar-tukar pemuzik. Akhirnya saya buat keputusan menjadikan Iqbal M. sebagai sebuah kumpulan pada 2013.

“Saya ambil anggota tetap dan keluarkan EP berjudul Antara Dua Darjat yang mengandungi lima lagu antaranya Paling Cinta Dalam Dunia, Ke Sana Jalannya, Pulanglah Segera, Selamat Malam Encik Akauntan,” katanya.

Menurutnya, penggunaan nama Iqbal M. pula dikekalkan kerana sudah ada pengikutnya sendiri.

“Saya rasa susah kalau gunakan nama lain kerana takut kena bermula semula dari bawah. Bagi saya, Iqbal M. adalah mewakili anggota lain dan bukan hanya saya seorang.

“Sampai sekarang Iqbal M. terus bergerak menjayakan persembahan di sekitar Lembah Klang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 September 2019 @ 5:40 AM