YUNA teruja dilamar menyertai agensi model terkenal dunia, Wilhelmina Models. FOTO Instagram Yuna
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


SELEPAS dilihat menghadiri beberapa pertunjukan fesyen sempena Minggu Fesyen New York (NYFW) baru-baru ini, penyanyi Yuna mengumumkan dirinya dilamar agensi model terkenal dunia, Wilhelmina Models.

Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Zarai, 32, berkongsi khabar gembira berkenaan menerusi Instagram di mana dia jelas teruja menjadi antara selebriti dipilih untuk bernaung di bawah agensi terkenal itu.

“Hello dunia! Inilah berita yang saya ingin kongsikan kepada anda semua. Wanita milik kamu ini sekarang sudah menyertai @wilheminamodels!.

“Siapa pernah sangka, mak, kita berjaya lakukannya. Sangat teruja untuk kongsikan detik ini bersama adik perempuan saya @massey_sw. Saya sedia untuk berkhidmat,” katanya.

Sebaik membuat pengumuman itu, penyanyi Dan Sebenarnya berkenaan dihujani ucapan tahniah daripada ramai rakan artis baik tempatan mahupun antarabangsa. Tidak terkecuali, penyanyi dari Indonesia, Anggun.

Wilhelmina Models adalah agensi khidmat peragaan dan pengurusan bakat yang beribu pejabat di New York, Amerika Syarikat. Syarikat itu juga mempunyai cawangan di Los Angeles, Chicago, Miami dan London.

Antara selebriti popular lain yang turut bernaung di bawah Wilhelmina Models ialah Nicki Minaj, Shawn Mendes dan penerbit muzik, Kygo.

Manakala nama besar dalam peragaan yang dinaungi agensi berkenaan termasuklah Janice Dickinson, Robyn Lawley, Anjelica Huston, Rachel Trachtenburg dan Kendall Jenner.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 8:19 PM