WANY mahu berehat dulu daripada bidang lakonan. FOTO Halimaton Saadiah Sulaiman
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


“JIWA saya bukanlah pada bidang lakonan. Jika tiada minat dan ilmu dalam cabang seni itu, saya bimbang akan menyusahkan orang lain,” kata penyanyi popular Wany Hasrita ketika ditanya pengalaman berlakon dalam projek telefilem sebelum ini.

Menurut penyanyi yang dikenali dengan lagu Menahan Rindu itu, dia mengakui bidang lakonan bukanlah jiwanya selepas terbabit dengan penggambaran telefilem di Pulau Pangkor, sebelum ini.

Katanya, dia hanya melakonkan karakter diri sendiri dalam telefilem itu.

“Pada masa sama, penggambaran telefilem itu juga membabitkan tempoh tujuh hari saja.

“Saya juga ada bertanya pengalaman berlakon di lokasi pada rakan artis seperti Amira Othman dan Nabila Razali.

“Namun, rupa-rupanya, bidang lakonan bukanlah sesuatu yang mudah dan turut menuntut kesabaran tinggi,” katanya kepada Harian Metro.

Ditanya sama ada dia serik untuk berlakon lagi, kata Wany, buat masa ini, dia mahu berehat dulu daripada bidang lakonan.

“Saya mahu fokus pada bidang nyanyian dulu kerana masih banyak impian yang belum dikecapi lagi.

“Antaranya, saya mahu muncul dengan lagu patriotik sekali gus melahirkan kecintaan pada negara pula selepas ini,” katanya.

Bagaimanapun katanya, jika ada tawaran projek telefilem baru pada masa depan, dia hanya menyerahkan pada pihak pengurusannya.

“Buat masa ini, keutamaan pada bidang nyanyian dan projek lakonan juga membabitkan tempoh panjang sehingga dua bulan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 September 2019 @ 5:32 PM