AKIM & The Majistret menghimpunkan pemuzik daripada setiap band popular tempatan. FOTO Zunnur Al Shafiq
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


PENYANYI popular Akim Ahmad menjelaskan dia tidak ada yang jawapan boleh diberikan mengenai tindakan anggota kumpulan Sofazr juga komposer, Zarimi Zahari atau Zimi mengumumkan keluar daripada Majistrate.

Akim sebelum ini bekerjasama dengan Majistrate iaitu kumpulan yang menghimpunkan pemuzik daripada setiap band popular tempatan itu.

Seperti yang diketahui peminat setia Akim, Majistrate ditubuhkan sebagai eksperimen dalam kerjasama antara dua pihak iaitu Akim dan anggota terpilih daripada kumpulan popular tempatan.

Menerusi kerjasama itu, single kedua Akim & The Majistret, Potret meraih kejayaan terbesar dalam Anugerah Juara Lagu ke-30 (AJL30) apabila membolot anugerah Persembahan Terbaik sekali gus dinobatkan sebagai Juara Lagu.

Ditanya adakah dia menerima keputusan diambil Zimi dengan berat hati kata Akim yang dihubungi hari ini, perkara itu tidak seharusnya ditimbulkan kerana kepentingan dalam kumpulan itu bukan membabitkan dirinya seorang sebaliknya keseluruhan anggota Akim & The Majistret.

Bagaimanapun sewaktu menjelaskan akan kesan yang mungkin mempengaruhi kerjaya seninya mahupun peribadi apabila Zimi membuat keputusan berkenaan katanya, dia menganggap apa yang berlaku adalah ketentuan-Nya.

“Seperti yang saya perjelaskan tadi, keputusan diambil selepas mengambil kira keseluruhan perjalanan karier yang akan dijalani Akim & The Majistret.

“Sudah tentu pada masa akan datang ia turut membabitkan banyak pihak. Nyatanya kami tidak mahu Akim & The Majistret tidak berada di satu tahap saja.

“Secara peribadi apa saja yang kita buat bergantung pada nasib dan rezeki masing-masing. Sepanjang berkarya saya tidak pernah meletakkan semua karya itu menjadi, jadi saya sentiasa melakukan yang terbaik dan ikhlas dalam berkarya sama ada membabitkan nyanyian, komposisi lagu mahupun penulisan lirik,” katanya.

Keputusan Zimi untuk meninggalkan Majistrate kata Akim adalah adalah hak dan keputusan masing-masing.

“Kalau saya fokuskan pada isu ini. Ertinya saya menyekat perjalanan anggota lain. Kejayaan Akim & The Majistret adalah disebabkan semua anggotanya dan juga individu yang berada di belakang tabir serta sentiasa berada di belakang kami.

“Adalah mementingkan diri jika saya ambil keputusan yang salah dalam soal ini. Apa pun yang terjadi adalah hasil perbincangan bersama dan saya harap semua ini berjalan serta beransur positif untuk semua,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:31 PM