IPPO Hafiz
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


Permulaan lagu ini dibuka dengan beberapa bait kata, luahan isi hati Ippo Hafiz buat isterinya sebelum muzik melangkah masuk ke dalamnya.

Dari segi susunan muzik, ia tak lari jauh daripada lagu ciptaan Ippo sebelum ini. Ippo masih kekalkan identiti muziknya yang apabila didengar, pendengar sudah dapat mengagak itu adalah lagunya.

Susunan muziknya ringkas, namun merdu dan tersusun dengan baik, mengalun indah dengan bait lirik yang dilontarkan Ippo.

Saat mendengarkan lagu ini, nyata ia adalah karya boleh dijadikan salah satu lagu dalam senarai lagu majlis perkahwinan sama seperti lagu romantik lain yang pernah ada.

Dari segi jalan cerita, Berdua mengisahkan mengenai kehidupan selepas berumah tangga dan bersatu sebagai suami isteri.

Menerusi lagu ini juga, Ippo meluahkan bagaimana dia dan isteri saling melengkapi antara satu sama lain dan kehadiran isterinya umpama anugerah buatnya.

Ippo yang sebelum ini cukup dikenali sebagai pencipta lagu runut bunyi untuk drama tempatan kini nampaknya punya lagu khas umpama runut bunyi untuk majlis perkahwinannya sendiri.

Video muzik Berdua juga menggunakan suntingan video yang diambil ketika majlis perkahwinan Ippo berlangsung pada 24 Ogos lalu sekali gus menjadi memori terindah buat dia dan isteri, Farah Roslan.

Sehingga kini, video muzik Berdua yang dimuat naik ke YouTube sejak 30 Ogos lalu sudah mencecah lebih 74,000 tontonan dan mendapat komen positif daripada ramai pendengar.

Lagu: Berdua

Penyanyi:Ippo Hafiz

Komposer: Ippo Hafiz

Lirik: Ippo Hafiz

Terbitan & edaran: MVM Music

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 September 2019 @ 5:20 AM