Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


PELAKON Fadlan Hazim bercadang menamatkan zaman bujang dengan kekasih hatinya, Julie Anne Kang selewat-lewatnya tahun depan.

Walaupun sudah hampir 13 tahun berkawan baik dengan wanita keturunan Cina itu, Fadlan mengakui perkahwinan bukan satu perkara mudah.

Bukan sengaja melewatkan perkara baik, tapi sebagai anak sulung, Fadlan mempunyai tanggungjawab lebih besar.

“Ibu saya tinggal sendirian selepas ayah meninggal dunia.

“Sebagai anak sulung, saya mahu lepaskan adik dulu yang baru tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

“Selain itu, sebelum berkahwin saya dan Julie mahu mengembangkan perniagaan masing-masing.

“Sekarang banyak perkara yang kami lakukan. Saya takut apabila berkahwin nanti, ia memberi tekanan dan terbawa-bawa sehingga memberi kesan pada rumah tangga.

“Jadi lebih baik kami selesaikan apa yang patut dulu,” katanya.

Siapa sangka, anak sulung daripada empat beradik ini turut berkecimpung dalam bidang pertanian.

Ketika ini Fadlan mengusahakan tanaman sayur-sayuran dan buah-buahan di kawasan seluas 0.8 hektar di Batu 16, Hulu Langat untuk menjamin masa depan dia dan keluarganya.

“Saya harus akui kerjaya sebagai pelakon ini ada pasang surutnya.

“Kadang-kadang dapat banyak tawaran, tapi tengok-tengok tahun depan senyap.

“Apatah lagi stesen TV tak mahu ambil sekiranya kita kerap keluar TV.

“Ini ditambah dengan kedatangan pelakon baru, jadi kita memerlukan perancangan yang lain,” katanya.

Fadlan berkata, tanaman seperti cili, kacang panjang, bendi, rambutan, durian termasuk menghasilkan madu tualang yang diusahakan sejak dua tahun lalu itu adalah perniagaannya bersama keluarga.

Katanya, hasilnya akan dijual di kedai-kedai berdekatan.

Sementara itu, bercerita mengenai filem Sangkar lakonannya, Fadlan berkata, walaupun tidak membawa watak utama, dia tetap memberikan aksi terbaik bagi memastikan filem itu berjaya secara keseluruhannya.

Menurut Fadlan, dia berusaha menaikkan berat badannya semata-mata untuk tampak ideal sebagai seorang petinju.

“Bagi saya, setiap pelakon perlu memberikan mutu lakonan yang terbaik, tidak kiralah watak apa sekalipun yang diberikan, kecil atau besar, kita tak boleh ambil sambil lewa.

“Walaupun saya tidak menjayakan watak utama, saya tetap perlu memberikan 100 peratus dan kalau boleh, semua benda yang saya buat, saya mahu semua pihak berpuas hati,” katanya.

Ditanya berapa lama dia mendapatkan bentuk badan yang sado dan ideal, Fadlan berkata hampir enam bulan menjalani latihan di gimnasium tanpa bantuan steroid.

“Sebagai seorang petinju saya perlu menjaga pemakanan dan pergi ke gimnasium untuk mendapatkan bentuk badan yang ideal.

“Dari 72 kilogram, saya naikkan sehingga 81 kilogram dalam masa enam hingga lapan bulan.

“Bukan itu saja, saya juga mengambil masa lebih kurang tiga bulan berlatih ilmu pertahanan diri, Mix Martial Arts (MMA).

“Saya mempunyai asas dalam taekwando, jadi tiadalah pergerakan saya nampak kosong.

“Sememang menjayakan filem ini mencabar, tapi peluang seperti ini tak selalu datang. Sebelum penggambaran, mereka suruh saya buat badan dulu, bila berjaya buat badan barulah saya dapat ‘green light ‘daripada penerbit.

“Kalau saya gagal, saya tidak dapat watak itu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 September 2019 @ 5:00 AM