KUMPULAN Search dengan kerjasama The Santo mengeluarkan barang dagangan edisi terhad sempena sambutan 30 Years Of Search Fenomena. FOTO Supian Ahmad
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


KUMPULAN rock legenda, Search melakar sejarah apabila menghasilkan barang dagangan (merchandise) edisi terhad dalam kotak kayu edisi khas sebanyak 90 unit sahaja sempena sambutan 30 Years Of Search Fenomena.

Pemain bass Search, Nasir Daud berkata, kotak kayu yang dikenali sebagai ‘Wooden Box Fenomena’ itu adalah barangan eksklusif untuk peminat mereka selain produk yang dijual berasingan seperti baju T dan rantai kunci.

Katanya, Search yang turut dianggotai Amy atau Suhaimi Abd Rahman selaku penyanyi), Hamzah Mohd Taib (Kid-gitar utama) dan Noordin Mohd Taib (Din-gitar irama) bekerjasama dengan tiga anak muda iaitu Saiful, Herwan dan Aimie yang menggelarkan diri mereka Santo dalam menghasilkan barang dagangan eksklusif itu.

"Sebelum ini kami ada buat barang dagangan tapi bersama Santo kali ini ada sedikit peningkatan.

"Kami beri ruang dan idea untuk mereka hasilkan yang terbaik.

"Tempoh untuk bekerjasama masih panjang dan biarlah kami berikan peluang terlebih dahulu kepada mereka," katanya dalam majlis pelancaran barang dagangan Search di Fenomena Music, Plaza Damas, Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut Amy pula, mereka jarang bekerjasama dengan mana-mana pihak dalam jangka masa yang panjang.

"Biasanya kami hanya tetapkan setahun. Jika mereka boleh buat yang baik, baru kami pertimbangkan untuk lanjutkan.

"Setakat ini kami lihat Santo ada banyak idea yang baik. Mungkin bermula dengan barang dagangan, selepas itu boleh dikembangkan kepada projek lain pula," katanya.

Sementara itu, Saiful berkata, pemilihan Search dibuat kerana mereka sebuah kumpulan rock legenda yang sukar dicari ganti.

"Tempahan yang diberikan terutamanya untuk ‘Wooden Box Fenomena’ sangat menggalakkan dan kami sudah menerima beribu tempahan.

"Bagaimanapun kami tetap dengan perancangan asal mengeluarkan hanya 90 unit sahaja kerana ia sangat istimewa.

"Harga ‘Wooden Box Fenomena’ dibahagikan kepada tiga jenis iaitu Premium yang dipanggil Fenomena Siri berharga RM799, Rock & Roll Siri RM649 dan Hard Rockin Siri RM449," katanya.

Santo diambil daripada bahasa Jepun bermaksud tiga kepala.

Tempahan untuk mendapatkan barang dagangan Search boleh dibuat menerusi laman web dan Facebook Santo.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 8:49 PM