MOLIANO (dua dari kanan) bersama (dari kiri) Azlan, Kai dan Aweera.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


BIARPUN lagu Sambutlah Kasih nyanyian kumpulan Lovehunters dari Singapura dihasilkan pada 1999, popularitinya baru menular dalam kalangan peminat di Malaysia sekitar dua tahun lalu.

Populariti lagu genre balada rock ciptaan mereka itu ternyata cepat tular dalan kalangan peminat sehingga menyaksikan ia mencatat 42 juta tontotan di YouTube.

Sambutan hebat ini mencetuskan idea buat Pengurus Besar Life Records Malaysia, Singapura dan Indonesia, Osman Ariffin menerbitkan versi terbaharu lagu berkenaan yang dinyanyikan penyanyi generasi sekarang.

Pemain gitar Lovehunters, Moliano Rasmadi diberi tanggungjawab membuat gubahan semula lagu berkenaan yang dinyanyikan Azlan Typewriter, Aweera dan penyanyi Singapura, Kai Nizam.

Proses rakaman suara berlangsung di studio Nar Records, Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, Rabu lalu dan ketiga-tiga mereka melahirkan perasaan teruja diberi kepercayaan menyanyikan lagu ini.

Azlan berkata, lagu ini sering dinyanyikannya di setiap persembahan pentas dan dia menyambut baik usaha dibuat Life Records itu.

“Ini lagu kegemaran saya dan sekarang saya diberi peluang menyanyikannya dalam bentuk yang baharu. Lagu asal Lovehunters pada 1999 kekal diminati pada zaman sekarang dan rakaman terbaharu ini mungkin akan diminati peminat era anak saya pula.

“Lagu ini akan bawa saya dan Aweera dikenali peminat Singapura. Ia sesuatu yang sihat,” katanya.

Aweera pula berkata, gubahan semula lagu ini sangat segar, namun masih berpaksikan pada genre rock, tetapi lebih menjurus kepada sentuhan moden.

Bagi Kai pula, dia mahu menggunakan peluang ini untuk mengembangkan kerjaya seninya di Malaysia.

“Saya sudah kenal lagu ini sejak kanak-kanak dan amat meminatinya. Syukur saya akhirnya diberi peluang.

“Bergandingan dengan Azlan dan Aweera adalah satu peluang keemasan. Saya sebenarnya terperanjat apabila dipilih. Tambahan pula apabila lihat Azlan menyanyikan lagu ini dengan Syamel yang sangat hebat. Saya akan berikan yang terbaik kerana masing-masing ada ke­kuatan tersendiri,” katanya.

Sementara itu, Moliano berkata, projek terbaharu ini dibuat membabitkan kerjasama syarikatnya, Moluv Music dan Life Records.

“Kawan baik saya, komposer Olly Maguire yang mencadangkan perkara ini yang kemudian dibawa kepada Osman. Ia tiada kena-mengena dengan Lovehunters. Saya berikan nafas baharu lagu ini dan sengaja pilih penyanyi muda kerana ia perlukan ‘energy’ yang kuat.

“Saya pilih Azlan kerana karakter suaranya yang unik. Saya dapat bayangkan lagu yang dibawakan nanti lain dari yang asal. Begitu juga Aweera dan Kai Nizam yang ada karakter suara sendiri,” katanya.

Menurutnya, versi asal Sambutlah Kasih nyanyian Yazid Abu Bakar dirakam di sebuah studio di Bandung, Indonesia atas saranan komposer Ruslan Mamat.

“Apabila siap, ekonomi sedang gawat teruk dan tempiasnya turut kena pada industri seni. Kami bawa lagu ini ke pelbagai syarikat rakaman, tapi tak berjaya.

“Akhirnya kami tubuhkan label sendiri, Hunters Records dan keluarkan album di Singapura. Selepas itu saya berehat dari Lovehunters. Tiga tahun lalu, saya berkunjung ke kampung emak saya di Kota Tinggi, Johor dan terkejut apabila sebuah pusat beli- belah memainkan lagu ini sedangkan ia tak dipasarkan di Malaysia,” katanya.

Lagu Sambutlah Kasih versi terbaharu ini dijangka menemui peminat pada hujung September nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 September 2019 @ 5:10 AM