BABAK dalam episod Sumbang Mahram yang menimbulkan kontroversi. FOTO Ihsan TV3
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PENGARAH dan penerbit, Heykal Hanifah menafikan menyelitkan babak keterlaluan dalam drama bersiri Rumah Siti Khadijah yang disiarkan menerusi slot Samarinda TV3 bermula Isnin lalu hingga Khamis.

Heykal yang menerbitkan siri berkenaan di bawah syarikat miliknya Luqsar Kreatif berkata, setiap tayangan drama 13 episod itu sudah diberikan kelulusan oleh Lembaga Penapis Filem (LPF) dan diletakkan label PG13.

“Episod pertama yang disiarkan hanya pengenalan, manakala episod kedua berjudul Sumbang Mahram memaparkan kisah seorang datuk merogol cucunya sendiri.

“Ia menampilkan pelakon Kamarul Yusof, Jay Iswazir dan Khairisya. Kalau orang lain yang bawakan watak ini, ia mungkin jadi lain. Tapi Kamarul bawa dengan cara tersendiri.

“Saya tak buat sebarang bentuk babak telanjang atau Kamarul tak berpakaian atau dia sedang merogol cucunya dengan wajah yang menyeronokkan,” katanya kepada Harian Metro.

Terdahulu, siri itu banyak menerima kecaman warganet di media sosial terutama Facebook yang menyifatkannya sebuah drama lucah dan tidak sesuai untuk dipertontonkan.

Menurut Heykal, dia hanya memasukkan unsur metafora (perlambangan) untuk babak itu dengan menggunakan lakonan dan kelakuan Kamarul, muzik serta syot yang menunjukkan perlakuan keji dilakukannya.

“Menerusi babak yang diperlihatkan, apabila cucu ini picit tangan datuknya, dia tak buat apa-apa dan hanya memperlihatkan permainan reaksi matanya.

“Dia hanya tengok cucunya tapi dengan muzik dan lakonannya yang hebat, menampakkan babak ini hidup walaupun dia ketika itu belum lagi rogol.

“Tapi apabila dia tarik cucunya, saya tak tunjuk babak keterlaluan dan hanya tunjukkan kepala katil sedang bergegar,” katanya.

Heykal berkata, babak pergelutan itu tidak diperlihatkan langsung secara visual.

“Saya gunakan unsur metafora dan kemudian ada dialog datuk jangan datuk sebanyak dua kali sebelum ia berakhir. Kalau babak ini tak okey LPF pasti akan cakap awal-awal,” katanya.

Baginya, itu adalah realiti yang berlaku dalam masyarakat sekarang dan semua pihak kena sentiasa beringat.

“Kita semua ada anak yang sedang membesar dan ini adalah cara saya untuk berdakwah serta menyuntik kesedaran kepada masyarakat,” katanya.

Heykal berterima kasih dan memuji TV3 kerana berani memberi ruang kepadanya menghasilkan cerita yang banyak mengandungi mesej itu.

“Masyarakat jangan berfikiran terlalu sempit. Sampai bila kita nak tengok cerita cinta di slot Samarinda.

“Saya hasilkan setiap cerita ikut landasan yang betul. Ada juga yang bertanya kenapa saya tak buat cerita berkonsepkan cinta.

“Sebagai pembikin, pelbagai proposal konsep cerita saya hantar kepada stesen televisyen. Apabila diluluskan untuk cerita begini, saya kenalah buat,” katanya.

Menurutnya, Rumah Siti Khadijah mengandungi 13 episod dan setiap episod memaparkan cerita serta pelakon berbeza.

“Tiga karakter tetap dilakonkan oleh Farahdhiya, Faezah Elai, Nina Iskandar dan Intan Ladyana yang bertindak selaku penjaga Rumah Siti Khadijah.

“Mereka inilah yang menyambungkan setiap episod apabila memainkan peranan menyelesaikan masalah pada setiap episod.

“Episod yang ditampilkan dalam kisah ini memang berkaitan isu sosial dan paparan yang diperlihatkan kena ekstrem supaya orang rasa takut melihat kesan daripada gejala buruk ini,” katanya.

Kisah lain siri itu ialah Call Girl, Lari Rumah, Pil Khayal, Tokan Dadah, Gangsterisme, Ragut, Mangsa Rogol, Hamil Luar Nikah, Parti Liar, Syabu dan episod akhir mendedahkan latar belakang orang yang membuka rumah perlindungan terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 8:27 PM