ZOEY menerima pelbagai komen peminat di Instagramnya termasuk yang membalas secara berjenaka. FOTO Mahzir Mat Isa
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


TINDAKAN pelakon dan pengacara Zoey Rahman menawarkan perkhidmatannya menjadi teman lelaki untuk disewa di Instagram mendapat sambutan luar biasa.

Zoey, 34, berkata dia tidak sangka ramai bertanyakan jika hal itu serius selain ada yang sanggup menghantar mesej peribadi untuk mendapatkan perkhidmatan itu.

“Tak sangka saya masih laku walaupun sudah berusia sebegini. Bagaimanapun niat saya cuma mahu menghiburkan pengikut.

“Bosanlah asyik muat naik foto semata-mata saja. Jadi saya buatlah kandungan yang lebih kreatif namun tidak sangka pula ada menyangka perkhidmatan ini serius.

“Idea ini sebenarnya saya ambil daripada sebuah cerita dari Thailand berjudul Boyfriend For Rent. Jadi, saya cuba-cubalah buka perkhidmatan ini di Instagram,” katanya kepada Harian Metro.

Pelakon Cik Sempurna itu turut mendedahkan ada yang masih mahu mengajak keluar dan berjumpa meskipun sudah menjelaskan dia sekadar bergurau.

“Macam-macam saya dapat komen dan mesej. Tapi rata-rata memang ramai yang komen dan membalas secara berjenaka balik.

“Namun ada juga yang tidak putus asa untuk mempelawa jumpa selain pertanyaan berbaur lucah. Tapi biarlah perkara itu habis di Instagram saja dan tidaklah sampai ke tahap lebih-lebih,” katanya.

Terdahulu, Zoey memuat naik video dirinya di Instagram dengan kapsyen mahu menawarkan perkhidmatan menjadi teman lelaki untuk disewa dengan bayaran RM100.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 6:09 PM