ALYAH minta warganet bersikap rasional dan terbuka tanpa memandang negatif pada setiap apa yang dimuat naik. FOTO Nur Adibah Ahmad Izam
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


“MUAT naik gambar sedih kena kecam, muat naik gambar gembira pun tak boleh. Apa yang warganet nak sebenarnya?,” kata penyanyi popular, Datin Alyah mengenai sikap segelintir warganet yang kurang senang dengan setiap perkara dimuat naik di Instagram (IG) mahu pun IG Stories.

Alyah atau nama sebenarnya Noor Hasliah Abu Hasan, 38, berkata dia sendiri tidak faham apa yang diinginkan warganet dalam media sosial hari ini.

Malah, dia beranggapan sepatutnya setiap daripada mereka perlu muhasabah diri dan tidak bersikap busuk hati dengan sesiapa saja.

“Kadang-kadang tak faham sikap warganet ni. Serba serbi tak kena. Seolah-olah mereka lebih tahu dan ingin menentukan hala tuju hidup seseorang.

“Cuba sesekali bersikap rasional dan terbuka tanpa memandang negatif pada setiap apa yang dimuat naik. Saya pun ada kehidupan sendiri dan ingin bebas macam orang lain.

“Lagi pula, IG saya adalah hak saya. Apa yang dimuat naik ini adalah apa yang dilalui. Saya tak ada masa nak berpura-pura di IG,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, Alyah yang kini muncul dengan single Meluruh tetap memuji dan berterima kasih kepada pihak yang sentiasa memberikan kata-kata semangat untuknya.

“Saya tak kata semua negatif, sebab masih ramai lagi yang positif dalam perkara sebegini. Malah, mereka sentiasa memberikan kata-kata semangat.

“Bagi saya, orang seperti mereka yang patut diberi perhatian. Apatah lagi, saya pula jenis yang tidak sukakan aura negatif dalam hidup,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:16 PM