SHAHIR (kanan) 'selesa berkawan' dengan Erra (kiri). FOTO Arkib NSTP
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


PENYANYI Shahir Zawawi mengakui masih berkawan baik dengan primadona filem alaf baru, Erra Fazira dan menganggap gosip yang membabitkan dirinya dengan beberapa wanita sebelum ini langsung tidak menjejaskan hubungan baik mereka.

Bagaimanapun Shahir menegaskan dia lebih senang menyerahkan soal jodoh dengan Erra seperti yang hangat diperkatakan oleh peminat kedua-dua artis terbabit kepada ketentuan-Nya.

“Apa yang saya katakan ini mungkin kedengaran klise. Tapi saya sebenarnya lebih selesa berada dalam zon berkawan.

“Dalam situasi kami ‘selesa berkawan’, ada pihak yang menekan dan sering bertanyakan bila mahu ke peringkat seterusnya.

“Pada saya dalam hal ini apa kata kita serahkan saja soal itu (jodoh) kepada aturan yang Maha Esa. Kerana Dia lebih berhak untuk menentukan hala tuju hubungan kami ini,” katanya.

Shahir berkata, sebaiknya dia mahupun Erra membiarkan apa saja hubungan terjalin antara mereka berjalan dengan baik.

“Saya bagaimanapun faham apabila ada yang bertanya. Maklumlah orang lihat kami berkawan tetapi jarang berjumpa.

“Mereka mahu mengambil tahu mengenai hubungan baik kami. Cuma pada saya janganlah sampai ada yang cuba mendesak. Biarlah kami berkawan dengan baik dan selesa,” katanya.

Sebelum ini timbul dakwaan, Erra dan Shahir tidak lagi berhubungan selepas beberapa gosip membabitkan Shahir dan beberapa wanita menjadi perhatian umum.

Ini termasuklah dakwaan seorang wanita bernama Mona yang mengakui dia berhubungan dengan Shahir sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 3:55 PM