SAMBUTAN untuk lokasi pertama Karisma Jelajah Suria sangat luar biasa.
HM Digital
am@hmetro.com.my


PERSEMBAHAN pembukaan daripada tujuh penyampai Suria, Fizi Ali, Issey, Feeya Iskandar, Sharifah Shahirah, Tyzo, Suraya dan DJ Lin mencuri tumpuan lebih 3,000 pengunjung Karisma Jelajah Suria yang diadakan di Central i-City, Shah Alam, baru-baru ini.

Bukan itu sahaja, persembahan artis popular seperti Ruffedge, Dayang Nurfaizah dan Exists turut mendapat sorakan gemuruh daripada peminat yang memenuhi ruangan acara Karisma Jelajah Suria.

Pengurus Kanan Suria FM, DJ Lin meluahkan rasa gembira atas sambutan baik Karisma Jelajah Suria di lokasi pertama di Shah Alam.

“Alhamdulillah, sambutan untuk lokasi pertama sangat luar biasa. Kami berterima kasih kepada peminat Suria di sekitar dan juga di luar Lembah Klang yang sudi hadir membanjiri lokasi pertama siri Karisma Jelajah Suria ini.

“Untuk lokasi seterusnya di Kuantan, Pahang pada 14 September ini (esok) tentunya Suria berharap dapat menghiburkan peminat dan pendengar di kawasan pantai timur pula. Sekali gus dapat merasai sendiri kemeriahan Karisma Jelajah Suria tahun ini,” katanya.

Siri jelajah Suria kali ini buat pertama kalinya mendapat tajaan daripada Karisma Cosmetics dan Coolblog.

Kata DJ Lin, terdapat beberapa kelainan yang ditonjolkan untuk siri jelajah kali ini antaranya penganjuran pertama pertandingan mewarna dengan kolaborasi bersama Majalah Kuntum untuk menarik minat pendengar-pendengar cilik dan ibu bapa.

“Penyertaan pertandingan karaoke yang dinamakan KiraOke Suria menerusi Instagram @suriamalaysia turut mendapat sambutan hangat bagi merebut hadiah wang tunai yang ditawarkan,” katanya.


PERSEMBAHAN penyampai Suria Petang.

Karisma Jelajah Suria seterusnya akan ke pantai timur, selatan dan utara tanah air iaitu Kuantan pada 14 September (esok) membabitkan penyampai selain artis seperti Ezad Lazim, Ara Johari, Siti Nordiana, Black, Amir Masdi, Tajul, Fareez Fauzi, Ariff Bahran, Azzara Band, Mimi Manan, Muna Shahira, Zack Zakwan serta Tuah Adzmi.

Pengunjung yang hadir boleh turut serta dalam aktiviti pentas yang menawarkan hadiah berupa wang tunai dan barangan eksklusif Suria.

Jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan cenderahati eksklusif Suria seperti baju-T, payung dan topi dengan harga promosi hanya di booth Kedai Suria.

Untuk peminat dan pendengar yang tidak dapat hadir ke lokasi Karisma Jelajah Suria, Suria FM menawarkan siaran langsung acara itu di radio menerusi semua frekuensi Suria dan ‘live update’ media sosial Facebook dan Instagram Suria Malaysia.

Selepas Kuantan City Mall, ia diteruskan ke Angsana Mall, Johor Bahru (21 September) dan Aman Sentral, Alor Setar (28 September).

Dapatkan juga maklumat dan perkembangan terkini berkenaan Suria di laman web Suria www.suria.my dan juga laman sosial Facebook, Instagram & Twitter SuriaFMMalaysia.

AKTIVITI SEPANJANG KARISMA JELAJAH SURIA

Pertandingan Mewarna KUNTUM

Pertandingan mewarna ini adalah eksklusif kepada pelanggan Majalah Kuntum di mana penyertaan terbuka kepada kanak-kanak lelaki dan perempuan berumur 6 hingga 12 tahun. Peserta mesti membawa pensel warna sendiri.

Untuk pendaftaran, sila mesej lokasi pilihan, nombor langganan, nama penuh, umur dan nombor telefon di Facebook rasmi Majalah Kuntum atau Suria FM.


PENGUNJUNG yang hadir.

Pertandingan KiraOke Suria

Kepada mereka yang gemar berkaraoke, ini peluang anda menangi sebahagian daripada wang tunai berjumlah RM10,000!

Muat naik video anda menyanyi selama satu minit di laman sosial Instagram anda berserta hashtag #KiraOkeSuria dan kapsyen 'Saya rasa suara saya kira OK dan saya nak berentap di Jelajah (Lokasi Pilihan Anda : Shah Alam atau Kuantan atau, Johor Bahru atau Alor Star).

Sepuluh peserta akan dipilih untuk berentap di setiap lokasi Jelajah Suria pilihan mereka dan pemenang di setiap lokasi akan kembali bersaing di ‘Grand Finale’ KiraOke pada 12 Oktober ini.

Untuk maklumat lanjut, hubungi Unit Komunikasi Korporat SMRG, Fatin Nur Sofia (013-6493416) atau fatin@smrg.my / corpcomm@smrg.my

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:15 AM