ADAM Eiman
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


WALAUPUN sering diperdengarkan dan didedahkan dengan genre rock, tidak bermakna Adam Eiman akan mengikut jejak bapanya, Datuk Hattan sebagai penyanyi rock.

Sebaliknya Adam, 21, yang mahu dikenali sebagai Adam E memilih genre rap dan hip hop.

“Selepas tamat SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya cari inspirasi untuk buat lagu dan lebih suka kepada hip hop.

“Walaupun ayah banyak bagi saya dengar lagu rock antaranya Gun N’ Roses dan Black Sabbath, tapi saya tetap terarah kepada hip hop. Sebenarnya saya suka rock kerana jiwa rock itu tetap ada dalam diri saya. Bagi saya gelombang hip hop sekarang ibarat genre rock pada masa dulu,” katanya.

Adam berkata, pada mula bapanya menunjukkan reaksi terkejut, namun merestui keputusannya.

“Sudah tentu dia terkejut, tapi apabila melihat minat dan kesungguhan saya dalam genre ini, dia akhirnya bersetuju.

“Yang penting saya perlu melakukannya bersungguh-sungguh dan bukan hangat-hangat tahi ayam. Saya pernah berduet dengan ayah menerusi lagu Gadis Jolobu dalam program Kilauan Emas, tapi ketika itu minat menyanyi belum betul-betul bercambah dalam diri saya,” katanya.

Adam E bakal muncul dengan single sulungnya berjudul Perlukan Aku yang dicipta sendiri bersama sepupunya.

“Saya bekerjasama dengan ayah dalam lagu terbabit. Syarikat rakaman Sony Music Malaysia bertindak selaku pengedar digital lagu ini.

“Saya juga beruntung kerana mendapat tajaan daripada kedai pakaian Sasuke bagi menghasilkan dan mempromosikan lagu ini.

“Saya tahu orang akan kata saya tumpang nama ayah. Inilah sebabnya saya masuk industri muzik. Bukan kerana nak gunakan nama dia, tapi apa salahnya saya buat benda ini jadi lebih baik jika ada kebolehan,” katanya.

Dalam pada itu, Adam E kini mengikuti pengajian dalam bidang Perhubungan Awam Antarabangsa di sebuah pusat pengajian tinggi swasta.

“Saya meminati bidang ini dan akan memanfaatkannya dalam industri muzik nanti. Ikutkan niat asal saya nak jadi ahli politik, tapi apabila tengok pada situasi yang berlaku terutama perpecahan sesama masyarakat yang ditimbulkan mereka, impian ini terus dibuang.

“Lebih baik saya pilih bidang seni kerana ia boleh menyatukan semua kaum dan masyarakat,” katanya yang berhasrat menyambung pengajian di London selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:10 AM