NABILA (kanan) gembira mendapat tempat kedua di belakang Wany Hasrita yang beraksi cemerlang.
Malik Muhamad
am@hmetro.com.my


NABILA Razali, 27, mengalami detik cemas hingga tangannya menggeletar ketika menyertai cabaran Toyota Gazoo Racing Festival dan Perlumbaan Toyota Vios kelas selebriti di pekarangan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, Kuala Terengganu, baru-baru ini.

Bagaimanapun, Nabila yang popular dengan lagu Pematah Hati itu tetap tenang sepanjang perlumbaan dalam keadaan litar basah sebelum menduduki tempat kedua di belakang penyanyi, Wany Hasrita.

Nabila yang juga pelakon drama Matahari Cerah Lagi berkata, dia gembira kerana berjaya menamatkan perlumbaan, sekali gus menduduki tempat kedua.

“Saya bersyukur dengan semangat baharu dan kawan baharu, saya banyak bertanya mereka selain bantuan daripada tenaga pengajar yang banyak membantu.

“Saya tak sangka dapat tamatkan perlumbaan pada hari pertama dan kedua dalam pusingan pertama ini, apatah lagi dapat nombor dua selepas perlumbaan pertama dapat nombor lima, musim lalu agak bergelut.

“Saya juga hampir terbabas kerana keadaan litar basah akibat hujan lebat pada hari kedua pertandingan.

“Situasi itu begitu menakutkan hingga tangan menggeletar ketika memandu, tapi saya terus fokus dan kekalkan pemanduan terbaik, utamakan keselamatan dan yakin boleh,” katanya.

Nabila berkata, bukan mudah untuk kekalkan pemanduan dengan baik dalam keadaan litar basah, tetapi dia berusaha dan akhirnya berjaya kekalkan pemanduan yang baik.

Selain Nabila dan Wany, turut beraksi dalam perlumbaan itu ialah pelakon, Syukri Yahaya yang meraih tempat ketiga, Shawn Lee keempat dan Diana Danielle di tempat kelima.

Turut beraksi dalam kelas selebriti ialah Khai Bahar, Nabil Ahmad, Janna Nick, Syafiq Kyle dan Ain Edruce.

Nabila berkata, pencapaian itu adalah yang terbaik sejak dia menyertai perlumbaan musim kedua tahun lalu. Dia juga akan terus menjadi pencabar utama dalam saingan pusingan kedua di Kuala Lumpur, November ini.


PENGERUSI Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah (depan tujuh dari kanan) bersama pelumba dan selebriti tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 5:05 AM