LUFYA bersama anaknya, Laana Haura. FOTO Rohanis Shukri
Sudirman Mohd Tahir
sudirmna@hmetro.com.my


“SAYA bercita-cita nak menjadi isteri solehah sebab itu diam sampai makan diri. Saya pernah sakit kemurungan.

“Tak sangka impian dan cita-cita nak menjadi isteri solehah sesukar ini cubaannya,” kata penyanyi, Lufya Omar, 34, mengulas krisis rumah tangga yang dihadapi bersama suaminya, Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharom.

Terdahulu di ruangan status Instagramnya, pemilik nama sebenar Lutfyah Sheikh Omar berkata, dia sudah lama bersabar dengan sikap suaminya.

Malah, sepanjang tiga tahun perkahwinan mereka, Lufya berkata, suaminya sudah beberapa kali mengulangi kesalahan sama.

Dia turut mempersoalkan cara suaminya menyelesaikan masalah dihadapi mereka, malah mendakwa lelaki itu lari daripada tanggungjawab sehingga masuk tiga bulan setengah berturut-turut.

“Sudah cukup lama saya dianiaya! Fitnah isteri pada keluarga macam-macam hanya untuk nak tutup kesilapan besar. Cukup-cukuplah,” katanya kepada Harian Metro.

Dakwa Lufya, suaminya sudah mula buat hal ketika di awal tiga bulan perkahwinan mereka lagi.

“Kesabaran saya diduga terlalu lama. Sejak tiga bulan kita berkahwin, awak sudah buat penganiayaan yang tak terjangkau fikiran.

“Kesalahan itu awak ulang sehingga enam kali! Saya diam sampai tak mampu pikul sendiri lagi. Luka di badan tak sesakit luka dalam hati ini. Terima kasih,” katanya.

Tahun lalu, kisah pergolakan rumah tangga Lufya dan suami pernah hangat diperkatakan hingga ada mengatakan mereka mahu bercerai. Namun, ia dinafikan Lufya.

Lufya dan suami berkahwin pada 28 November 2016 serta dikurniakan anak perempuan, Laana Haura yang kini berusia dua tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 9:39 PM