NABILA percaya setiap yang terjadi ini ada hikmah di sebaliknya dan semuanya takdir Allah. FOTO Zunnur Al Shafiq
Najiy Jefri
najiy.jefri@hmetro.com.my


KAKAK kepada pengacara popular, Neelofa iaitu Noor Nabila Mohd Noor, 34, mengharapkan kes perceraian dengan suaminya yang juga pelakon, Sharnaaz Ahmad, 34, selesai secara baik.

Nabila ketika dihubungi Harian Metro berkata, meskipun suaminya menolak permohonan cerai yang dibuat, dia merasakan berpisah adalah jalan terbaik untuknya.

"Apabila memfailkan permohonan cerai, ini bermaksud saya sudah bersedia dengan apa jua keputusan. Tapi apabila semalam dia tidak setuju untuk berpisah, saya perlu menghormati keputusan mahkamah dan ikut prosedur yang ditentukan.

"Saya percaya setiap yang terjadi ini ada hikmah di sebaliknya dan semuanya takdir Allah. Setiap pasangan yang berkahwin, sudah pasti tidak mahukan penceraian. Saya dah cuba pelbagai cara untuk selamatkan rumah tangga ini namun ia tidak berhasil.

"Sekarang biarlah saya fokus terhadap anak dulu. Apa sahaja yang terjadi antara saya dan Sharnaaz, akan tetap utamakan anak kami,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu hal itu memberi impak buruk pada pembesaran anak mereka.

“Saya mahu Jebat Jayden membesar dengan kehadiran ayahnya, tiada halangan untuk Sharnaaz datang meluangkan masa bersama anaknya pada bila-bila masa dia nak datang," katanya.

Menurut Nabila, dia tidak akan sesekali membuka aib suaminya kerana antara mereka masing-masing sudah matang dan tahu untuk menilai mana baik dan buruk.

"Sejujurnya kami memang ada berbincang dan bersetuju untuk bercerai. Walhal sebelum memfailkan penceraian, dia terlebih dahulu menghantar perjanjian penceraian kepada saya.

“Saya musykil jika dia masih sayangkan perhubungan ini dan ingin menyelamatkan rumah tangga kerana kami sudah tiada lagi persefahaman.

"Biarlah masalah yang berlaku ini hanya kami berdua sahaja yang tahu. Dia tahu mengapa saya mengambil tindakan ini. Saya harap orang luar tidak membuat sebarang spekulasi," katanya.

Mengulas tweet yang ditulis oleh adiknya mengenai tindakan suaminya itu, Nabila berkata, itu hak peribadi Neelofa.

"Saya tidak tahu menahu mengenai tweet yang dikongsikan semalam. Bagi saya, itu pandangan peribadi dan saya tiada hak untuk menghalang.

"Lagipun kami tinggal bersama. Sebagai adik, dia pasti terasa dan sedih dengan nasib yang menimpa saya," katanya.

Semalam, Sharnaaz dilaporkan menolak permohonan cerai yang difailkan Nabila pada 27 Ogos lalu di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur.

Sharnaaz yang enggan mengulas sebab menolak penceraian itu memberitahu dia mahu mengikut prosedur mahkamah yang ditetapkan.

Katanya, pihaknya akan mengikuti arahan mahkamah dengan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) dalam kes penceraian itu dan akan ke Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) jam 12.30 tengah hari pada 30 Oktober depan.

Untuk rekod, Sharnaaz dan Nabila mendirikan rumah tangga pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak, Jebat Jayden berusia setahun.

Berita berkaitan

Saya tak tahu, mungkin Tom Hanks kot - Sharnaaz

Sharnaaz enggan cerai, Nabila menangis [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 8:13 PM