CAT (kiri) tidak ambil hati dengan 'gurauan' Farid (kanan) kerana mereka sering 'gaduh manja' di lokasi. FOTO Arkib NSTP
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi, Cat Farish menafikan dia ‘hilang’ atau cuba melarikan diri daripada Datuk Farid Kamil.

Cat ketika dihubungi berkata, dia baru saja melihat video yang dimuat naik oleh Farid berhubung pencarian dirinya yang dikatakan tidak dapat dihubungi.

“Saya ada saja di sini tidak ke mana-mana, sibuk menyiapkan beberapa lagu untuk filem Remp-It 2.

“Pada hari dia mencari saya, saya tiada babak untuk filem berkenaan kerana itulah tidak datang ke lokasi.

“Sebenarnya dia mahu saya datang ke lokasi bagi berbincang mengenai persiapan lagu untuk filem berkenaan,” katanya.

Cat berkata, sehingga kini dia masih belum berkesempatan bertemu Farid berikutan sibuk dengan persiapan lagu dan perniagaan Madi Macha Techo Juice.

“Sebenarnya kami memang sering bergaduh di lokasi tetapi tidaklah sampai bertumbuk. Bak kata orang hanya gaduh manja saja.

“Walaupun tidak pasti video berkenaan dia betul-betul marahkan saya atau sebaliknya, saya tidak ambil hati kerana sejak dulu kami memang begini,” katanya.

Terdahulu, Farid baru-baru ini memuat naik sebuah video di laman Instagram dalam keadaan marah berikutan tidak dapat menghubungi Cat.

Dalam video berdurasi lima minit itu, Farid turut meminta tolong orang ramai yang menemui Cat untuk menyampaikan pesanan daripadanya.

Farid berkata, Cat berhutang lagu yang harus diberikan kepadanya sebelum hari ke-22 penggambaran filem Remp-It 2.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 6:56 PM