LAGU duet Belenggu Rindu nyanyian Jamal dan Wany mendapat tontonan 1 juta dalam tempoh lima hari di YouTube. FOTO Supian Ahmad
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


RAJA Pop Datuk Jamal Abdillah tidak cepat melatah apabila ada pihak mendakwa lagu duetnya bersama Wany Hasrita iaitu Belenggu Rindu ada persamaan dengan lagu Anta Permana dendangan Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menurut Jamal, dia tidak dapat mengelak jika perkara itu berlaku kerana lagu Belenggu Rindu dan Anta Permana adalah sentuhan komposer yang sama iatu Hael Husaini dan Ezra Kong.

“Bila komposer yang sama buat lagu, kita tidak dapat lari jika ‘moodnya’ juga sama bila dia buat lagu untuk penyanyi lain.

“Contohnya, lagu dendangan saya yang juga ciptaan Datuk Dr Ahmad Nawab dulu pun orang dakwa memiliki persamaan bila beliau mencipta lagu untuk penyanyi lain.

“Sebagai penyanyi, saya hanya serahkan kepada sentuhan komposer yang buat lagu itu,” katanya kepada Harian Metro.

Bagaimanapun, kata Jamal, dia menganggap percubaannya berduet dengan artis muda seperti Wany berjaya kerana lagu Belenggu Rindu sudah mendapat tontonan 1 juta dalam tempoh lima hari di YouTube.

“Sebagai artis lama dalam bidang seni, saya tidak berasa rugi pun berduet dengan artis baru.

“Bagi saya, berduet dengan artis muda popular seperti Wany serta bekerjasama dengan komposer bagus seperti Hael dan Ezra, ia juga strategi untuk artis lama terus relevan dalam industri muzik tanah air,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 3:47 PM