ZIZAN.
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


BERADA dalam kelompok pelakon dan pelawak popular tanah air bukan bermaksud Zizan Razak sudah selesa dengan pencapaiannya itu.

Bagi Zizan, 35, dia juga tidak mahu dikenali sebagai pelawak atau artis komedi semata-mata.

“Sebenarnya, saya mahu dikenali sebagai pelakon yang bagus dan bukan sekadar artis komedi semata-mata.

“Saya juga impi menjadi artis serba boleh seperti Seniman Agung, Allahyarham Tan Sri P Ramlee yang mampu melakonkan apa saja watak dalam lakonan,” katanya.

Bukan menolak watak berat tetapi pelakon filem Polis Evo ini terkilan kerana masih ada pihak yang mempertikaikan kredibilitinya untuk melakonkan watak sedemikian.

“Saya pernah berlakon watak serius tapi masih ada pihak yang tidak percaya kebolehan diri ini.

“Saya berharap pihak terbabit lebih berfikiran terbuka dalam perkara ini. Sebagai contoh, pelawak terkenal, Allahyarham Harun Salim Bachik mampu membuat saya menangis ketika menonton lakonannya sebagai badut sebelum ini,” katanya yang ditemui pada sidang media telefilem Kerusi Kecil di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada masa sama, Zizan sangat berharap orang ramai mengubah tanggapan yang salah mengenai pelawak tidak mampu melakonkan watak serius atau berat.

“Sebagai contoh, artis komedi luar negara berjaya melakonkan watak serius dengan baik kerana diberi peluang.

“Jika nak diikutkan, pelawak juga sensitif dan lebih memahami watak yang perlu bermain de­ngan emosi dalaman.

“Pengarah dan penerbit drama serta filem perlu memberi ruang dan peluang kepada pelawak tempatan untuk menonjol­kan bakat sebenar mereka,” katanya.

Tidak letak harga

Zizan menafikan dakwaan dirinya meletakkan harga dari segi bayaran lakonan ketika ini.

Menurutnya, dia juga sedia berbincang dari segi bayaran dengan produksi drama dan filem.

“Saya pernah terima projek lakonan dengan harga yang tidak seberapa kerana menyukai watak ditawarkan.

“Janganlah menilai seseorang dari segi luarannya. Kalau orang tawarkan bayaran RM1 juta pun, saya tetap tolak jika wataknya tidak menarik,” katanya.

Ditanya bayaran untuk telemovie Kerusi Kecil pula, kata Zizan, dia tidak bertanya mengenai bayaran pun ketika ditawarkan berlakon dalam cerita arahan Ghaz Abu Bakar itu.

“Saya memang kenal dengan penerbit telemovie ini, Adtisha Productions kerana kami sama-sama berasal dari Terengganu. Dialog juga dalam dialek Terengganu.

“Selain mahu bekerja dengan Ghaz, saya terima tawaran buat telemovie ini kerana mahu berehat di kampung halaman.

“Penggambaran telemovie ini juga membabitkan lokasi di Pulau Perhentian dan sekitar Terengganu awal bulan ini. Lebih menarik, saya juga tidak pernah berlakon dalam projek drama serius,” katanya.

Selain Telemovie Kerusi Kecil, Zizan juga baru kembali daripada penggambaran video muzik Berserah yang menampilkan penyanyi, Ismail Izzani arahan Ghaz di Austria pada bulan lalu.

Sementara itu, filem aksi komedi lakonannya, Bulan dan Pria Terhebat arahan Ghaz berganding dengan Zahirah Mac Wilson juga menanti tarikh tayangan di pawagam.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:50 AM