TAJUL
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


PERNAH popular dengan lagu solo, Sedalam Dalam Rindu sekitar 2016, nama penyanyi remaja, Tajul Ariff, 21, secara tidak langsung berada di puncak kecemerlangan.

Dengan tontonan video muzik rasmi lagu itu sebanyak 29 juta di YouTube, Tajul juga berjaya meletakkan namanya sebaris bakat muda ‘budak baru nak up’ (BBNU) diminati ramai.

Namun, seiring masa yang berlalu adik bongsu kepada Allahyarham Achik Spin ini bagaimanapun lebih banyak dipalit cerita sensasi berbaur gosip peribadinya.

Tahun lalu, Tajul menghangatkan industri hiburan dengan kisah peribadi apabila pasangan duet penyanyi Wany Hasrita ini didakwa sudah berkahwin.

Tegas menafikan dakwaan berkenaan, Tajul berkata, dia lebih selesa memberi fokus pada karier seni diceburinya kerana minat mendalam sebagai penyanyi dan pelakon.

Pernah membintangi filem Enjin No 9 arahan Raja Azmi yang ditayangkan pawagam pada Mac tahun lalu, Tajul turut dilihat mula aktif dalam lakonan.

Namun, untuk 2019 ini dilihat perjalanan karier seni Tajul seakan-akan sepi dan dia seperti ‘menghilang’ dari radar di dalam industri hiburan.

Berbicara mengenai penyepian itu, Tajul tegas menepis kehilangannya. Katanya, dia tidak hilang ke mana-mana apatah lagi merajuk berikutan cerita sensasi dirinya.

“Saya bukan merajuk dan tiada sebab pun untuk berperasaan sebegitu. Apa yang pasti, jadual karier seni saya masih padat dengan undangan persembahan nyanyian.

“Alhamdulillah, karier nyanyian saya masih lagi ‘hidup’. Malah, setakat ini aktiviti nyanyian saya tetap aktif kerana mendapat tawaran untuk persembahan.

“Cuma, saya mungkin nampak sepi kini kerana tidak banyak cerita disiarkan media. Bagaimanapun, saya gembira dan bersyukur kerana karier nyanyian masih aktif,” katanya.

Mengakui fokusnya lebih ditumpukan pada undangan persembahan nyanyian diterima, Tajul atau nama sebenar Tajul Ariff Noor Md Shari berkata, punca rezekinya tidak putus.

“Ikutkan jadual aktiviti seni saya masih padat. Saya hingga kini masih sibuk memandangkan bakal muncul dengan lagu baru tidak lama lagi.

“Lagu baharu nanti berkemungkinan menjurus pada rentak yang ‘catchy’ dan secara tak langsung mengeluarkan saya daripada kepompong zon selesa dengan lagu mendayu serta meruntun jiwa,” katanya.

Tajul yang teruja untuk tampil dengan lagu baharu itu berkata, jika tidak ada aral dan mengikut perancangan, buah tangan terkininya untuk peminat akan dilancarkan sekitar hujung tahun nanti.

Hampir tiga tahun memahat bakat dan nama dalam karier nyanyian, Tajul sudah muncul dengan lagu seperti Kembalilah Rindu, Di Sana Cinta Di Sini Rindu, Melamar Rindu, Rindu Dalam Benci, Hasrita dan Aku Serius.

Dalam lakonan pula, Tajul juga pernah membintangi telefilem Tergantung Rindu yang ditayangkan pada Aidilfitri tahun lalu dan dia juga dapat berlakon sebuah drama.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 September 2019 @ 5:30 AM