YANA teruja memanjat pokok bersama anaknya, Aisy Mateen dan kanak-kanak Orang Asli. FOTO Facebook Yana Samsudin
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PELAKON dan pengacara Yana Samsudin meluahkan rasa gembira apabila dapat menyumbang bakti kepada masyarakat Orang Asli menerusi program CIMB Progress Squad, Isnin lalu.

Dalam program itu, Yana diberikan sejumlah wang untuk membawa perubahan dan memberi kebaikan kepada masyarakat orang Asli terbabit.

“Saya pergi ke Kampung Bukit Telaga yang menempatkan sekitar 10 hingga 15 keluarga Orang Asli di Bentong, Pahang bersama sukarelawan dan peminat yang mendaftar menerusi pautan yang dikongsi di media sosial.

“Walaupun hebahan yang dibuat agak singkat, penyertaan diterima amat menggalakkan.

“Tiga hari sebelum pergi, saya berjaya kumpul 100 penyertaan, tetapi penganjur menyenarai pendek untuk membawa sekitar 30 orang sahaja,” katanya kepada Harian Metro.

Yana bertolak ke kampung terbabit pada jam 9 pagi dan berada di situ hingga lewat petang.

“Seperti yang kita maklum, mereka tinggal di kawasan pedalaman dan tiada kemudahan elektrik.

“CIMB Progress Squad dan saya pasang solar untuk bekalan elektrik, kelambu serta penapis air di situ. Jadi dengan menggunakan tenaga solar, mereka dapat minum air yang bersih.

“Kesemua yang diberikan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin untuk kegunaan mereka,” katanya.

Yana turut menggunakan kesempatan berada di situ dengan mengajak penduduk kampung dan anak mereka menjaga kebersihan serta mengajar menggosok gigi dengan betul.

“Kami bawa ubat gigi untuk diberikan kepada mereka. Anak saya, Aisy Mateen turut dibawa bersama untuk bergaul dengan kanak-kanak di situ dan dia nampaknya tidak kekok.

“Alhamdulillah program yang dihadiri sekitar 70 penduduk kampung ini berjalan lancar. Perasaan gembira saya dapat terbabit bersama program ini sukar nak digambarkan,” katanya.

Katanya, pergaulannya dengan masyarakat Orang Asli bukanlah sesuatu yang asing kerana datuk dan neneknya sendiri adalah kaum Peribumi Sarawak.

“Datuk (babeh) dan nenek (tayung) dari sebelah emak adalah orang Bidayuh. Saya dah biasa dengan kehidupan mereka di sana.

“Sebenarnya beberapa tahun lalu, saya dan kelab peminat dah pernah terbabit mengadakan aktiviti khidmat sosial di Gua Musang, Kelantan.

“Kami masuk Kuala Koh hantar beras dan keperluan makanan. Tiga kali juga kami buat aktiviti ini,” katanya yang menyambut baik sekiranya diberikan peluang lagi selepas ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 6:44 PM