JAMAL mengidam lemang dan rendang sepanjang tempoh isteri mengandung. FOTO Supian Ahmad
Ramlah Zainal
ramlah@hmetro.com.my


PENYANYI terkenal Datuk Jamal Abdillah memilih nama Azura Yamani untuk anak perempuannya yang bakal dilahirkan tanggal 5 Oktober nanti.

Menurut Jamal, 60, nama itu dipilih kerana populariti dan impak filem Azura pada kerjaya dan kehidupannya sampai hari ini.

“Setiap kali orang nampak saya mereka akan jerit nama Azura.

“Begitu juga setiap kali buat persembahan di pentas peminat akan minta lagu Azura juga.

“Pada masa sama, isteri juga suka dengan nama Azura yang saya pilih ini,” katanya dalam sidang media pelancaran lagu duet bersama Wany Hasrita berjudul Belenggu Rindu di Suka Sucre Bistro, Cheras, Kuala Lumpur, hari ini.

Mengulas keadaan isterinya, Datin Zai Izzati Khiruddin, 25, kata Jamal, isterinya kini berehat di rumah kerana kandungan sudah sarat mencecah lapan bulan setengah.

“Isteri tidak mengidam yang pelik sebaliknya saya mengidam lemang dan rendang sepanjang tempoh dia mengandung.

“Mujurlah, lemang dan rendang senang nak dapat yang sudah dimasak dan boleh dibeli pada waktu tengah malam pun sekarang,” katanya.

Ditanya perasaannya pula, kata Jamal, dia berasa gementar menanti detik kelahiran bayi perempuannya itu.

“Saya sudah beritahu isteri tidak akan berada di sisinya dalam wad bersalin nanti.

“Saya memang takut untuk menyaksikan proses kelahiran bayi sejak anak sulung lagi,” katanya.

Terdahulu, Zai Izzati pernah mengalami keguguran tiga kali sebelum ini.

Jamal berkahwin dengan Zai Izzati yang juga perkahwinan kali keempatnya pada 1 April 2017 di Ipoh, Perak.

Sebelum ini Jamal pernah berkahwin sebanyak tiga kali bersama Basariah Abdul Latiff, Noraina Mohd Yusof dan Fatimatuzahrah Samad tetapi berakhir dengan perceraian.

Menerusi perkahwinan terdahulu, Jamal mempunyai dua anak lelaki iaitu Osama Yamani, 18, dan Ahmad Zaki Yamani, 13.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 5:24 PM