BABY Shima bersyukur diterima baik dan dihargai peminat Indonesia. FOTO Arkib NSTP
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PENYANYI, Baby Shima yang kini lebih banyak menjalankan kerja seni di Indonesia bersyukur kerana tidak terkena tempias atau menerima kecaman negatif daripada peminat di negara jiran rentetan isu membabitkan dua negara ketika ini.

Beberapa perkara yang menimbulkan ketegangan antara Malaysia dan Indonesia ialah mengenai insiden dalam perlawanan bola sepak baru-baru ini dan juga isu jerebu.

Shima yang kini bernaung di bawah label Nagaswara berkata, peminat muzik di sana bijak dalam membuat keputusan dan benar-benar menghargai bakatnya.

"Alhamdulillah, saya tak terkena tempias. Peminat Indonesia juga semuanya menghargai saya sebagai penyanyi Malaysia yang mencari rezeki di negara mereka," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, mereka juga tidak pernah memperkecilkan bakatnya.

"Walaupun saya penyanyi dari luar, mereka tidak pernah memperkecilkan saya. Alhamdulillah sekali lagi, saya bersyukur sangat," katanya.

Isu perbalahan antara Malaysia dan Indonesia bukan lagi satu isu baru. Namun, ia menjadi lebih parah apabila baru-baru ini, penyokong dan pemain bola sepak Malaysia diserang oleh penyokong negara itu ketika Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2022/ Piala Asia 2023 di Stadium Utama Gelora Bung Karno, Jakarta, Khamis lalu.

Perbalahan menjadi semakin parah apabila isu jerebu juga dijadikan sebagai punca perbalahan antara kedua-dua negara dan semakin hangat diperkatakan di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 September 2019 @ 3:26 PM