DJ Lin perlu menanggung kos perubatan ibu dan dua anak yang semakin dewasa. FOTO Saddam Yusof
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


“LELAKI yang mahu mendekati saya harus memiliki kewangan kukuh,” kata penyampai radio popular Roslinda Abdul Majid, 44, atau DJ Lin apabila ditanya mengenai jodoh dan teman hidup.

Kata penyampai radio Suria FM itu, dia bukanlah mata duitan tetapi sedar dalam situasi sekarang kewangan sangat penting bagi memastikan kehidupan pada masa depan terjamin.

“Jujur duit memang penting, apatah lagi ibu tunggal seperti saya yang mempunyai ramai tanggungan. Saya bukan bujang dan hanya perlu fikir mengenai diri sendiri saja. Saya ada anak bujang kini menuntut di universiti dan perbelanjaannya tinggi.

“Dalam waktu sama saya juga menanggung perubatan ibu yang kini menghidap penyakit buah pinggang tidak berfungsi.

“Setiap minggu dua atau tiga kali ibu harus menjalani rawatan dialisis dan paling kurang belanja untuk perubatan tidak kurang RM4,000,” katanya.

Disebabkan itu juga kata DJ Lin yang turut bertugas sebagai Pengurus Kanan merangkap Ketua Stesen Radio Suria FM, dia harus bekerja keras bagi memastikan kewangan stabil dan segala keperluan ahli keluarganya dapat dipenuhi.

“Macam mana lelaki mahu mendekati sedangkan saya tidak ada kehidupan lain selain daripada kerja. Bayangkan rutin harian saya sama ada cuti atau tidak, dihabiskan di pejabat.

“Saya bekerja dari pagi hingga malam. Saya percaya kalau ada lelaki mahu mendekati mereka akan berasa bosan kerana tidak dapat memberikan perhatian kepadanya,” katanya.

Katanya, dengan keadaan dan situasi perjalanan hidupnya yang begitu sibuk, tidak mungkin dia mahu menambah beban dengan memikirkan soal teman lelaki.

DJ Lin mendirikan rumah tangga pada 2000 ketika menjadi penyampai radio di Best 104.9 Johor Bahru dan bercerai pada 2006.

Hasil perkahwinan itu dia dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nureen Areesye, 19, dan Nazreen Asyran, 17.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:46 PM