NU’EST beri 200 peratus tenaga pukau 3,500 peminat dalam konsert Segno in Kuala Lumpur.
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


SEMANGAT perjuangan kumpulan dari Korea Selatan, Nu’est sememangnya tidak pernah tergugat meskipun pelbagai rintangan menimpa mereka. Demi peminat yang cintakan Nu’est, kumpulan itu terus kuat membina empayar kerjaya seni mereka.

Dianggotai JR, Aron, Baekho, Minhyun, dan Ren, perjalanan karier mereka tidak seindah kumpulan berjaya lain. Mereka pernah berdepan kejatuhan seketika sehingga pastinya bukan saja peminat bahkan anggotanya sendiri risaukan nasib mereka.

Apapun, setiap dugaan itu ada hikmah tersendiri apabila sekarang mereka kembali jauh lebih kebal berbanding sebelum ini. Kini kepercayaan peminat terhadap mereka juga lebih pasti melihat kepada usaha keras ditunjukkan Nu’est.

Hadir menjayakan konsert 2019 Nu’est in Kuala Lumpur baru-baru ini, banyak perihal baru mengenai kumpulan itu yang sangat mengagumkan di hadapan lebih 3,500 peminat.

Paling ketara adalah corak persembahan di mana keyakinan mereka jauh lebih terserlah. Jumlah penonton yang hadir mungkin tidak luar biasa sebagaimana kumpulan popular lain, namun bukan alasan Nu’est tidak memberi 200 peratus tenaga pada konsert itu.

Jelas sekali, mereka menggunakan tempoh beberapa tahun ini untuk meningkatkan segala kemahiran. Bukan saja menitik beratkan kepada nyanyian dan vokal, demikian cara menakluk pentas juga sangat berkesan.

Tidak mustahil, pembabitan beberapa anggotanya dalam program Produce 101 memberikan kelebihan daripada segi itu. Mana tidaknya, mereka begitu profesional membawa diri pada setiap persembahan.

Anggotanya JR sendiri mengakui bahawa mereka sudah lama menanti saat itu terutama buat peminat di Malaysia. Pernah berkunjung ke sini beberapa kali, kumpulan itu terharu akhirnya dapat mengadakan konsert solo sendiri.

“Kami memang sudah berazam untuk mempersiapkan diri sepenuhnya untuk anda. Kami sangat rindukan anda dan banyak sebenarnya mahu cakap kepada anda semua.

“Apapun, misi sekarang adalah untuk terus menunjukkan bahawa kami bagus disebabkan kasih sayang tidak terhingga anda semua. Dengan kasih sayang begini akan membuatkan kita semua bahagia,” katanya.

Yang pasti, Nu’est juga mengakui terlalu bersyukur masih dapat berdiri di hadapan peminat menjayakan konsert sebegitu. Banyak perkara sukar mungkin bersarang dalam diri, namun peminat terus menjadi keutamaan.

Disebabkan itu, mereka mengakui api yang berkobar dalam diri masih tetap sama sebagaimana ketika baru bermula. Mereka tidak mahu semangat itu luntur dan akan sentiasa ingat asal usul mereka.

“Kami memilih judul Segno untuk konsert ini sebagai mengimbau kembali bagaimana kemunculan kami di awal dulu. Kasih sayang yang kami terima sepanjang siri jelajah sangat luar biasa.

“Sekali gus, ia ibarat sokongan yang kami terima mula-mula dulu yang membangkitkan api semangat lebih berkobar,” kata JR.

Jika diikutkan, Nu’est adalah antara kumpulan senior di mana mereka diperkenalkan pada 2012. Daripada segi reputasi, mereka sudah boleh dibariskan dengan banyak kumpulan lain yang jauh berpengalaman.

Namun, masih kental nampaknya rasa merendah diri dalam diri anggotanya masing-masing. Apa saja yang mereka lakukan, tidak lain untuk memenuhi permintaan peminat setia mereka.


AURA penghibur Nu’est masih berbisa.

Seluruh tenaga mereka salurkan pada konsert berkenaan yang mana turut dibahagikan kepada beberapa segmen. Bukan setakat beraksi berlima, setiap anggota diberikan ruang untuk beraksi solo menunjukkan kehebatan persendirian.

Ruang itu jelas tidak disia-siakan apabila mereka berjaya memikat hati penonton dengan sisi berbeza mereka. Ada yang tonjolkan bakat menari, tidak terkecuali vokal gemersik, sekali gus membuai perasaan semua.

Paling menggamatkan suasana apabila mereka meluangkan masa untuk mengusik sesama sendiri melakukan aksi comel. Apapun, semua anggotanya begitu terbuka dan berusaha memberikan aksi paling menarik mereka.

Daripada segi pementasan pula, kerja dilakukan produksi sememangnya cukup bijak dan teratur. Meskipun begitu minimum, namun ia kelihatan gah apabila prop yang digunakan begitu menarik.

Contohnya prop katil dan langsir yang mungkin nampak agak berat sebaliknya dikendalikan dengan sangat profesional dan cekap.

Secara keseluruhan, konsert itu berjaya menebus kerinduan peminat terhadap betapa hebat Nu’est sebenarnya sebagai penghibur. Aura mereka jelas masih berbisa dan setanding kumpulan fenomena yang lain.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:20 AM