AMIR harap tuah lagu Kau Sakiti
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


SELEPAS tiga tahun berada dalam industri, bekas juara program Akademi Fantasia 2016, Amir Masdi akur apabila namanya masih belum cukup popular.

Malah Amir, 23, atau nama sebenarnya Amir Syazwan Masdi mengakui beberapa single yang dilancarkan sebelum ini belum mampu melonjakkan namanya.

“Saya sedar, memang belum ada lagu yang betul-betul mampu menaikkan diri ini untuk menjadi nama besar. Tapi, alhamdulillah, saya gembira dengan pencapaian yang ada sekarang.

“Tidak ada masalah pun, lagi pula saya tahu peningkatan diri. Kalau tak jadi nombor satu sekali pun, tidak mengapa. Belum rezeki saya, mungkin satu hari nanti.

“Saya akan terus memajukan diri sebab itu yang penting. Pengalaman buatkan saya lebih matang dan peka,” katanya.

Terbaru, Amir yang pernah muncul menerusi lagu Puas mengharapkan tuah dan magis pada lagu Kau Sakiti yang dilancarkan pada Julai lalu.

Lagu dan lirik ciptaan sepenuhnya oleh Mike Chan, Mage, Ezra Kong dan Faizal Tahir itu melalui proses panjang sebelum diterbitkan.

“Asalnya, lagu ini berentak rock. Tapi, tukar 'arrangement' selepas beberapa bulan dengan memasukkan elemen hip hop dan balada. Kiranya gabungan banyak genre dalam lagu ini.

“Proses rakaman bermula dalam awal Oktober tahun lalu. Selepas tukar beberapa versi, akhirnya kami dapat versi terbaik iaitu yang diperdengarkan sekarang.

“Jadi, selepas lapan ke sembilan bulan, barulah ia dilancarkan pada 19 Julai lalu. Sebagai penyanyi, saya berpuas hati dengan hasilnya,” katanya.

Berkongsi mengenai lagu itu Amir berkata, ia bersifat menyeluruh dan bukan bertemakan cinta semata-mata.

“Kau Sakiti mengenai hati manusia yang sudah lama memendam rasa sakit hati. Tapi, tidak ada menjurus kepada alasan atau subjek apa. Pendek kata ia sangat menyeluruh dan terbuka.

“Kalau diamati lirik lagu ini, ia ada kaitan dengan banyak perkara. Bukan cinta saja, tapi boleh juga mengenai menjaga hati ibu bapa, perhubungan dengan rakan dan masalah buli di sekolah. Terpulang pada penilaian pendengar,” katanya.

Menurutnya, bagi memastikan lagu itu berjaya dia sedaya upaya dan sehabis baik akan terus mempromosikannya.

“Strategi saya terus mempromosikan lagu ini. Saya akan cuba menjadi lebih terbuka dan mesra dengan semua orang sebab saya pemalu dan susah sikit nak bersosial.

“Dalam masa sama, saya juga akan terus buat lagu. Saya mahu memaju dan meningkatkan diri sebagai penyanyi dan figura awam,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:15 AM