ISMAIL bakal tampil bersama Zizan buat persembahan pada malam kemuncak ABPBH ke-32.
Ardini Sophia Sina

BINTANG remaja, Ismail Izzani mengakui cukup teruja dengan peluang yang diberikan untuk beraksi di atas pentas malam kemuncak Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 pada 22 September ini.

Diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Ismail bakal tampil bersama selebriti serba boleh iaitu Zizan Razak bagi menghiburkan tetamu pada malam itu.

Kata penyanyi yang popular dengan lagu Bidadari, ruang dan kepercayaan diberikan adalah satu penghargaan buat pendatang baharu sepertinya untuk mempamerkan bakat.

“Seperti yang semua orang sedia maklum, ABPBH antara anugerah berprestij di Malaysia. Dan sudah pasti ramai artis baharu yang teringin untuk beraksi di pentas ini.

“Tahun lalu, saya berkongsi pentas dengan Nabila Razali, kali ini bersama Zizan pula. Saya rasa bertuah kerana masih diberikan peluang sama seperti tahun lalu untuk menjadi antara penghibur pada malam kemuncak nanti,” katanya.

Bakal membawakan lagu baharu kolaborasi antara Ismail dan Zizan, karya berjudul Berserah itu bukan hanya untuk hiburan, tetapi sarat dengan mesej bermakna.

Tidak meletakkan harapan tinggi buat lagu berkenaan, Ismail bagaimanapun terharu dengan sambutan memberangsangkan daripada peminat.

Malah, jumlah tontonan lirik video di YouTube juga mencecah enam juta sejak dimuat naik empat bulan lalu.

“Apabila dipilih sebagai penyanyi yang akan buat persembahan pada malam itu, saya pilih lagu Berserah kerana ia lagu baharu saya dan Zizan.

“Bukan sekadar langkah untuk mempromosikan, tetapi juga kerana lagu ini mempunyai mesej tersendiri yang perlu disampaikan kepada semua penggemar muzik di Malaysia,” katanya.

Selain Ismail dan Zizan, malam kemuncak turut dihiburkan dengan kehadiran penyanyi lain antaranya Aishah, Liza Hanim, Ernie Zakri, Idayu, Hazama, Black dan Akim Ahmad.

Ia turut diserikan dengan persembahan daripada Zamaera, SonaOne, Aliff, Ariff Bahran, Andi Bernadee, De Fam, Stacy, Sufian Suhaimi serta artis K-pop yang masih dirahsiakan identitinya.

Ditanyakan mengenai hubungannya dengan Shalma Eliana, kata Ismail, mereka hanya rakan seperjuangan yang berkongsi minat sama dan lebih selesa bercerita mengenai kerjaya.

“Kami sudah kenal sejak tingkatan dua dan saya boleh katakan dia teman sejiwa kerana kami berkongsi minat sama iaitu nyanyian. Dia seorang yang menyenangkan, baik hati dan bersikap terbuka. Saya selesa berkawan dengannya.

“Buat masa ini, kami ingin fokus pada kerjaya. Eliana juga sibuk dengan pengajiannya.

“Apapun, saya boleh katakan selain keluarga dan teman rapat. Dia antara individu yang sentiasa ada ketika saya senang atau susah,” katanya.

Spekulasi mengenai Ismail dan Shalma mulai diperkatakan warganet selepas Ismail sering memuat naik gambar mereka berdua di laman sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 5:10 AM