AERIL dan Wawa bukan jenis mementingkan diri serta mahu kaya sendiri. FOTO Ihsan Aqo Imran
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


PASANGAN suami isteri popular, Aeril Zafrel dan Wawa Zainal tidak menafikan sudah mencapai tahap jutawan selepas lebih tiga tahun menceburi bidang perniagaan.

Bagaimanapun, Wawa berkata, dia dan suami tidak boleh bersikap selesa atau goyang kaki kerana masih perlu bekerja keras dalam membantu stokis yang ada.

"Kami sudah capai sasaran dan dapat apa diinginkan. Tapi, masih ada sasaran lain lagi iaitu nak bantu orang lain. Kami ingin berkongsi rezeki dengan semua stokis yang selama ini membantu dalam meningkatkan jualan.

"Satu perasaan yang puas apabila dapat bantu orang lain. Apatah lagi kami sudah melahirkan dua jutawan menerusi Wawa Cosmetic.

“Kami ada enam ketua, dua sudah jutawan dan menyasarkan empat lagi akan mengikut jejak dalam tahun ini," katanya kepada Harian Metro.

Sementara itu, Aeril yang turut bersama pada majlis pelancaran Wawa Cosmetic edisi Wawaunicornkit di Kuala Lumpur, hari ini, berkata dia dan isterinya bukan jenis mementingkan diri serta mahu kaya sendiri.

"Kalau nak kaya seorang, tidaklah kami buat sistem stokis dan ejen. Lebih baik kami jual sendiri di platform membeli-belah atas talian atau farmasi.

"Tapi, kami suka sistem yang diguna pakai sekarang sebab boleh berkongsi rezeki," katanya.

Menariknya mengenai edisi itu, ia sudah terjual lebih 25,000 unit sebelum pelancaran secara rasmi dibuat.

Malah, pada majlis sama, Wawa dan Aeril turut mengumumkan dua ketua stokis yang mencapai jualan lebih RM1 juta dan RM2 juta menerusi edisi kosmetik sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 9:21 PM