LAN Solo berangkat menunaikan umrah bersama isteri dan empat anak semalam. FOTO Instagram Lan Solo
Norhayati Nordin
yati@hmetro.com.my


“DENGAN rendah hati, saya mewakili isteri serta anak memohon semua sama-sama berdoa supaya perjalanan umrah kami sekeluarga mudah dan lancar,” kata penyanyi Lan Solo.

Lan atau nama sebenar Mohd Razlan Mohamed Yusof, 34, berangkat mengerjakan umrah semalam bersama isteri, Nur Shiela Hassim dan empat cahaya mata iaitu Nur Aman Qaleesya, 7; Nur Amna Qeesyara, 5; Muhammad Akid Qassyaff, 4, dan Nur Amna Quxandra, 1.

Penyanyi lagu Berpisah Tanpa Rela memohon peminatnya supaya mendoakan perjalanan ke Tanah Suci untuk mengerjakan ibadah umrah dia bersama keluarga dipermudahkan.

Dalam perkongsian di Instagram (IG) miliknya, Lan dan isteri juga memohon maaf di atas segala kesilapan yang pernah dilakukan mereka sebelum ini.

“Sebagai manusia, kami tidak sempurna dan tidak terlepas daripada melakukan kesilapan. Dengan kesempatan ini, dapatlah andainya semua yang membaca ini memaafkan segala kekhilafan kami dari segala segi.

"Terlanjur perbuatan, terlanjur tutur kata, terhina tanpa sengaja, tutur bicara yang menghiris hati sesiapa, terusik harta, terlebih kira, terdengar berita yang tidak sepatutnya.

“Mohon juga halalkan makan minum kami seikhlas hati serta segala yang keruh dapat dijernihkan dari hati ke hati,” tulisnya.

Lan juga menulis, jika perjalanan itu adalah terakhir buat mereka sekeluarga, dapatlah kiranya sejuta keburukan pernah dilakukan dapat dilenyapkan.

"Seandainya perjalanan ini adalah perjalanan terakhir kami, dapatlah kiranya sejuta keburukan dapat dilenyapkan mungkin dengan hanya satu kebaikan yang pernah dilakukan sekiranya ada,” katanya.

Lan kini bergerak solo dalam karier nyanyiannya, pernah menyertai pertandingan Gegar Vaganza 4 (GGV4) pada 2017 dan dia mendapat tempat ketiga.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:56 PM