KEKUATAN filem Dendam Pontianak lebih kepada penceritaannya berbanding elemen seram itu sendiri
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


PUNTIANAK antara mitos seram yang sering dijadikan momokan dalam kalangan masyarakat Melayu sehingga menjadi ilham untuk diabadikan sebagai subjek filem.

Ini kerana latar kisah puntianak itu sendiri yang datang daripada pelbagai cerita rakyat dan imaginasi membuatkan ia menarik untuk dizahirkan menerusi layar lebar.

Puntianak juga antara watak yang digemari dan sering kali berjaya menarik perhatian penonton untuk ke pawagam.

Buktinya sewaktu pertama kali dihasilkan oleh B N Rao pada 1957 dengan judul Pontianak yang menampilkan Datuk Seri Maria Menado dan Salmah Ahmad sebagai teraju utama, ia muncul sebagai filem popular serta menjadi sebutan sehingga kini.

Pada 2004, Pesona Pictures menampilkan filem Pontianak Harum Sundal Malam dan berjaya muncul sebagai filem pecah panggung sekali gus mengangkat nama Maya Karin sebagai pelakon watak puntianak era baharu.

Terkini produksi dari Singapura, Tiger Tiger Pictures menghasilkan filem Dendam Pontianak yang mempertaruhkan kehebatan lakonan Nur Fazura sebagai Mina.

Dalam filem ini, Mina yang mengandung luar nikah kemudian mati dibunuh kekasihnya, Khalid lakonan Remy Ishak.

Roh Mina tidak aman dan kembali sebagai puntianak untuk membalas dendam.Pengarah filem ini, Gavin Yap dan Glen Goei ketika ditemui berkata, mereka cuba menggambarkan mitos sebenar mengenai puntianak yang mati dibunuh sewaktu melahirkan dan kembali untuk membalas dendam dalam karya yang dihasil­kan bersama itu.

Gavin berkata, titik permulaan untuk mereka menghasilkan Dendam Pontianak adalah apabila persoalan demi persoalan mengenai puntianak sering bermain di kepala.

“Mengapa ia menjadi satu watak yang sangat menakutkan sejak berabad lamanya sedangkan ia hanyalah seorang wanita yang meninggal dunia ketika melahirkan seorang bayi? Apakah kesilapan dilakukan entiti mistik ini sehingga kita menggelarkan ia sebagai salah satu roh jahat?” katanya.

Bercerita mengenai cabaran dalam menghasilkan Dendam Pontianak, Gavin yang sebelum ini pernah menghasil dan menerbitkan filem Take Me To Dinner berkata, paling utama adalah bagaimana dia dan Glen mahu menghasilkan sebuah idea yang segar dan terkini dalam waktu sama memastikan penceritaannya menarik.

“Mengambil latar tahun 1950-an dan 1960-an, kalau kita teliti kebanyakan filem bergenre puntianak rata-ratanya menjurus kepada dendam dan marah. Di sini kami cuba memikirkan bagaimana untuk mengekalkan motif yang sama tetapi menampilkan plot atau jalan cerita baharu.

“Jadi, kami cuba memberikan fokus kepada watak puntianak itu sendiri dan kisah peribadinya. Siapakah dia dan apakah yang terjadi kepadanya sebelum dia menjadi puntianak? Filem ini juga meneroka kemungkinan sifat rakus yang ada dalam diri manusia,” katanya.

Selain Fazura dan Remy, filem edaran Primeworks Studio yang bakal ditayang­kan pada 12 September ini turut menampilkan lakonan Hisyam Hamid, Shenty Feliziana, Nam Ron, Tony Eusoff, Nadiah M Din, Wan Hanafi Su, Nadia Aqilah dan Nik Harraz Danish.


BARISAN pelakon (dari kiri) Nam Ron, Remy, Nik Harraz, Fazura dan Hisyam.

Mencari sebuah jawapan kepada latar entiti mistik bernama puntianak menyebabkan kekuatan Dendam Pontianak lebih kepada penceritaannya berbanding elemen seram itu sendiri.

Atas alasan itu juga, pelakon yang membintangi filem ini perlu bekerja keras untuk menzahirkan watak masing-masing.

Barisan pelakon dipilih Gavin nyata tidak mengecewakan apabila mereka membawakan watak dengan baik dan berjalan atas roh watak perwatakan sehingga menghidupkan jalan cerita yang sederhana serta tidak terlalu kompleks.

Keserasian yang kuat wujud antara pelakon juga membuatkan perjalanan cerita Dendam Pontianak bergerak dengan begitu lancar.

Menjelaskan mengenai perkara ini, Gavin berkata, dia bertuah kerana berpeluang bekerja dengan pelakon yang tahu melaksanakan tanggungjawab dengan baik.

“Soal keserasian itu, sebagai pengarah saya tidak boleh paksa atau wujudkan, pelakon perlu mencarinya sendiri. Bagamanapun, saya lega kerana setiap pelakon tahu melaksanakan tugas mereka dan memberikan persembahan seperti apa yang dimahukan pengarah,” katanya.

Remy bersahaja, Fazura puas beri sesuatu yang baru

Sebagai pelakon pastinya dalam menjayakan filem Dendam Pontianak ini memerlukan penghayatan tinggi dan permainan dalaman. Ia perlu datang dengan kekuatan bukan saja fizikal tetapi juga mental.

Memberikan komen mengenai perkara itu, Remy berkata, dia hanya memberikan lakonan bersahaja dan tidak terlalu besar permainannya.

“Pada awal penceritaan permainan emosi membabitkan watak Khalid agak bebas. Biasanya sebelum ini saya berlakon dengan permainan yang biasa dan terkawal.

“Bagaimanapun, berbeza dengan Dendam Pontianak kerana ia memerlukan wataknya bermain dengan aksi yang tinggi dan emosi berat. Khalid antara watak yang agak mencabar untuk dizahirkan,” katanya.


REMY dan Fazura

Bagi Fazura pula, watak Mina yang dilakonkan adalah sangat berbeza dengan apa yang pernah dilakonkan sebelum ini.

“Kalau anda lihat watak Mina dan puntianak, ia tidak banyak memberikan aksi daripada mimik muka. Tetapi sebenarnya rasa yang mahu ditonjolkan bercampur baur dengan sedih bertukar geram dan tangis berganti marah.

“Semua itu saya perlu tonjolkan dari dalam tanpa banyak bermain dengan mimik muka dan ia sangat memenatkan. Bagaimanapun, saya puas kerana dapat memberikan sesuatu yang baharu dalam corak penghayatan watak mahupun lakonan,” katanya.

Dendam Pontianak yang mengambil latar 1965 mengisahkan Khalid dan Siti yang membuat persiapan untuk bernikah. Tidak lama kemudian anasir jahat mula menyelubungi perkampungan mereka apabila kematian dan kejadian misteri mencetuskan ketakuan serta kekecohan dalam kalangan penduduk.

Kejadian itu membawa kepada pengakuan Khalid yang sebelum ini membunuh seorang wanita yang mengandungkan anaknya 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 September 2019 @ 5:20 AM