Sufian Suhaimi. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Rudy Imran Shamsudin
imran@mediaprima.com.my


PENYANYI popular Sufian Suhaimi tidak mahu berfikir mengenai hubungan cinta yang tiada sebaliknya mahu merealisasikan impian untuk mengambil anak angkat.

Sufian sebelum ini digosip bercinta dengan pelakon Jasmine Suraya termasuk dengan seorang instafamous berusia 16 tahun.

“Sekarang ini saya tidak bercinta dengan mana-mana wanita pun. Begitu juga dengan Jasmine dan instafamous itu. Bercinta mahupun bernikah bukan satu kepentingan buat saya sekarang ini, sebaliknya saya memikirkan untuk melakukan sesuatu yang memberi makna besar dalam hidup iaitu bercadang mahu mengambil anak angkat,” katanya.

Sufian berkata, usia 27 tahun tidaklah terlalu muda untuk mengambil anak angkat dan dalam usia itu dia berasakan mahu memikul tanggungjawab terhadap orang lain.

“Mungkin cinta dalam hidup saya belum sampai lagi dan anak angkat adalah satu rezeki. Tidak semestinya ada anak angkat saya harus menjaganya di rumah.

“Saya boleh menjadikan anak di rumah anak yatim sebagai anak angkat saya. Apa yang penting dengan adanya anak ini, apabila saya bekerja dan berusaha keras saya tahu untuk siapa. Di samping untuk keluarga saya, dalam waktu sama saya bekerja untuk anak saya,” katanya.

Katanya, apabila mempunyai anak dan tanggungjawab perlu dilaksanakan, setiap malam sebelum tidur dia akan sentiasa berfikir apa yang harus dilakukan apabila terjaga keesokkan paginya. Perasaan itu akan membuatnya lebih bersemangat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 9:59 AM