Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my

BAGI peminat filem seram IT, tentunya kehadiran sekuel IT: Chapter Two atau IT 2 dinanti-nantikan.

Di Malaysia, filem ini mula ditayangkan pada 5 September lalu dan pelbagai reaksi diberikan peminat mengenainya.

Secara ringkas, IT 2 masih mengisahkan mengenai sekumpulan kanak-kanak dari Losers Club yang kini sudah dewasa iaitu Bill, Ben, Beverly, Mike, Richie, Eddie dan Stanley.

Kali ini, latar masanya adalah 27 tahun selepas kejadian pertama dan mereka dihubungi Mike untuk kembali ke pekan lama mereka, Derry kerana badut puaka, Pennywise kembali mengganas.


Dari segi jalan cerita, ia tersusun dengan baik. Untuk mengimbau kepada filem pertama, banyak babak imbas kembali atau ‘flashback’ diselitkan.

Babak imbas kembali itu juga sedikit sebanyak membantu penonton lebih memahami setiap latar belakang watak dalam filem ini ketika zaman kanak-kanak mereka.

Dari segi penggunaan Imej Janaan Komputer (CGI), IT 2 juga tidak terlepas daripada menggunakan teknologi ini mewujudkan babak yang tidak mungkin berlaku dalam dunia nyata.

Babak berdarah masih ada dan begitu juga dengan elemen kejutan, namun tidaklah keterlaluan sehingga mengganggu tumpuan penonton.


Di akhir cerita, penonton akan tahu siapa sebenarnya Pennywise dan ada ‘plot twist’ yang tentunya mengejutkan ramai penonton.

Dari segi mesej, IT 2 mengajak penonton untuk menghargai persahabatan dan bagaimana kerjasama antara sahabat mampu mengalahkan kuasa jahat.

IT: CHAPTER TWO

• PENGARAH: Andy Muschietti

• PELAKON: James McAvoy, Jessica Chastain, Bill Hader, Isaiah Mustafa, Jay Ryan, James Ransone, Andy Bean dan Bill Skarsgard

• GENRE: Seram

• TAYANGAN: 5 September 2019

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 September 2019 @ 6:15 AM