SINGLE terbaru berjudul Tak Berakhir menggabungkan vokal Mamat dan Ezad. FOTO Nurul Syazana Rose Razman
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my


PEMINAT kumpulan Exists pasti terbuai dengan single terbaru mereka berjudul Tak Berakhir menggabungkan suara Mamat dan Ezad yang sering diputarkan di stesen radio.

Lagu ciptaan Ajai dan Along dengan lirik nukilan Ajai dan Musa menjadi pertaruhan kumpulan berusia 28 tahun ini yang bakal menemui peminat menerusi Konsert Exists Reunion di Stadium Malawati, Shah Alam pada 28 September ini.

Walaupun diberikan lagu dalam tempoh yang singkat, proses rakaman di studio Wake The Baby milik Ajai di Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur, baru-baru ini menampakkan kematangan serta profesionalisme Mamat dan Ezad apabila berjaya membawakan lagu ini dengan baik.

Ajai, 42, berkata, aspek yang perlu dipandang sekarang bukanlah lagu, tapi sebaliknya penyatuan semua anggota Exists selepas sekian lama membawa diri masing-masing.

“Pada saya ia satu benda yang tak disangka. Memang kami semua bermula de­ngan Exists dan kemudian ada jalan masing-masing.

“Walaupun tanpa saya, tanpa Shah dan Mamat, Exists tetap berjuang dan saya rasa reunion adalah satu perkara yang sukar dilakukan.

“Ini kerana masing-masing sudah ada kerjaya sendiri, juga dalam bidang muzik. Saya berterima kasih kepada semua orang kerana kali ini kami betul-betul duduk semeja dan berbincang hingga akhirnya terjadi Konsert Exists Reunion,” katanya.

Konsert berkenaan kembali menggandingkan anggota asal Exists iaitu Mamat (penyanyi), Shah (gitar), Along (gitar), Musa (bass), Ajai (keyboard), Ujang (dram) dan Ezad yang menggantikan tempat Mamat sebagai penyanyi utama sebelum ini.

Menurut Ajai, perancangan asal mereka adalah merakamkan album penuh dan proses ini sedang berjalan mengikut jadual.


EZAD dan Mamat ketika merakamkan lagu. FOTO Nurul Syazana Rose Razman

“Ini bermakna kami akan merakamkan sekitar lima hingga enam lagu. Ketika disatukan untuk album pertama, kami tak pernah fikir berkenaan jumlah jualan dan sebagainya.

“Paling penting ialah kualiti berbanding kuantiti dan inilah juga yang dipraktikkan pada album ini. Inilah dia Exists kerana pada saya, sesuatu produk itu tak bergantung pada pasaran. Kalau ia betul-betul orang suka, dalam keadaan ekonomi sebegini pun orang akan beli,” katanya.

Ajai menjelaskan, mereka hanya disatukan untuk projek Album Exists Reunion dan Konsert Exists Reunion, namun tidak menetapkan tempoh tertentu.

“Jangka masanya kami tak pasti. Mungkin untuk tempoh setahun atau dua tahun, sampai kami puas dengan projek ini. Takkan ada Exists yang lain selain yang ini. Jika sambutan bagus, mungkin Exists akan sambung projek seterusnya.

“Semua lagu yang ditampilkan adalah lagu baru. Kami rasa seronok apabila bekerjasama semula,” katanya.

Menambah kemanisan, rakaman dibuat membabit­kan dua studio iaitu Wake The Baby dan Ada Studio (milik Along) dan setiap kali rakaman, semua ang­gota Exists hadir sebagai tanda sokongan.

“Kalau ikut proses rakaman sekarang, apabila bahagian bass, hanya pemain bass yang datang. Begitu juga bahagian yang lain.

“Kami tak rancang tapi benda ini berlaku secara spontan kerana dulu pun kami begitu waktu rakam album pertama,” tambah Shah pula.

Sementara itu, dalam rangka promosi konsert mereka, anggota Exists akan berada di acara Kayuh Rekreasi Avani Sepang pada 15 September depan untuk program The Fun Ride bersama peminat dan peserta, jam 8 pagi.

Mereka yang bertuah akan berpeluang memenangi tiket percuma bagi menonton Konsert Exists Reunion di Shah Alam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 September 2019 @ 5:00 AM