PEKIN filem lakonannya, Suatu Ketika: Langitkan Impianmu yakin punya mesej positif yang ingin disampaikan kepada penonton. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PELAKON, Pekin Ibrahim, mengakui filem lakonannya, Suatu Ketika: Langitkan Impianmu tidak setanding dari segi kos perbelanjaan, tapi punya kekuatan dari segi kandungan.

Menurutnya, filem arahan Prakash Murugiah itu punya mesej positif yang ingin disampaikan kepada penonton.

"Tak mustahil akan ada penonton yang membandingkan antara filem Suatu Ketika: Langitkan Impianmu dengan filem Ola Bola memandangkan ia mengangkat sukan bola sepak dalam jalan ceritanya.

"Namun, saya akui, produksi untuk filem Suatu Ketika: Langitkan Impianmu memang tidak akan boleh bersaing dengan produksi yang menerbitkan Ola Bola terutamanya dari segi kos. Tapi, apa yang boleh saya katakan, kandungan dalam filem ini cukup kuat," katanya kepada Harian Metro.

Menurutnya, kandungan yang dipaparkan dalam filem itu merangkumi banyak elemen.

"Banyak elemen yang disentuh dalam filem ini antaranya mengenai semangat persahabatan, semangat cintakan negara dan semangat kekeluargaan," katanya.

Selain Pekin, Suatu Ketika: Langitkan Impianmu juga dibintangi oleh barisan pelakon hebat antaranya Nam Ron, Din Tamam, Farah Ahmad, Syafnida Shuhaimi dan ramai lagi.

Filem itu akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 12 September ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 5:32 PM