NAIM peka dengan gambarnya tidak berbaju dan mengambil kira keseluruhan situasi untuk setiap sudut. FOTO Instagram Naim Daniel
Georgie Joseph
georgie@hmetro.com.my


PELAKON dan penyanyi Naim Daniel berharap foto terbarunya tidak berbaju yang dimuat naik di Instagram tidak dijadikan isu besar.

Naim, 21, mengakui dia peka mengenai sensitiviti dan mengambil kira banyak sudut sebelum memuat naik foto berkenaan demi mengelakkan salah faham daripada warganet.

“Sebenarnya saya memang peka dengan foto ini dan ambil kira keseluruhan situasi untuk setiap sudut berkenaan muat naik ini.

“Namun begitu, perkara paling penting saya akan jaga adalah untuk menutup aurat. Ia bertujuan supaya risiko untuk menerima kecaman lebih minimum.

“Setakat ini, saya tengok komen warganet kebanyakannya bergurau. Ada yang turut memuji sebab masih menutup aurat dan saya rasa ini bukan isu besar,” katanya kepada Harian Metro.

Naim juga meminta semua pihak supaya terus positif meskipun sedar perkongsiannya itu mungkin kurang disenangi segelintir orang.

“Kita fokus yang baik sajalah,” katanya.

Terdahulu, penyanyi Sumpah itu memuat naik foto berkenaan di Instagram bagi mempromosikan perniagaan penkek yang baru beberapa bulan diusahakannya.

Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi dan rata-rata peminat memberi komen sambil berjenaka.

Ada peminat yang turut memuji tindakannya masih menjaga aurat menerusi foto itu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 September 2019 @ 4:05 PM