MARK Adam bersyukur dapat merealisasikan hasrat yang pernah diluahnya pada 1996 untuk menghadiahkan ibunya banglo. FOTO Instagram Mark Adam
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


IMPIAN penyanyi, Mark Adam, 39, mahu menghadiahkan sebuah rumah selesa buat ibunya terlaksana apabila dia menunaikan janjinya semalam.

Penyanyi lagu Pencuri itu pulang ke kampung halamannya di Cebu, Filipina untuk menghadiahkan sebuah banglo yang diimpikan sejak 1996.

Menerusi video Instagram (IG) miliknya, Mark yang ditemani isteri, Norazah Redzuan, 40, melakukan kejutan pada insan yang paling istimewa dalam hidupnya.

Mark berkata, dia bersyukur kerana dapat merealisasikan hasrat yang pernah diluahnya ketika berusia 16 tahun.

"Mak, apabila saya dah besar nanti, saya akan belikan mak rumah. Janji itu dibuat pada 1996.

"Ketika zaman kanak-kanak, kami pernah tinggal di kawasan setinggan yang hanya berlantaikan pasir, tanpa perabot, katil atau tilam.

"Alhamdulillah, janji itu terlaksana dan mak seperti masih tidak percaya, ini rumah baru buatnya," tulisnya di IG.

Menerusi rakaman video, Mark menutup mata ibunya dengan kain dan membawanya menunggang motosikal ke rumah baharu.

Sebaik tiba di kawasan berkenaan, ibu Mark terpinga-pinga melihat rumah itu sejurus penutup matanya dibuka.

Terharu dengan hadiah itu, wanita berkenaan mencium Mark dan menantunya.

Melalui komen yang ditinggalkan, warganet memuji usaha dilakukan penyanyi itu dan menyifatkannya sebagai anak mengenang budi.

Pengguna laman sosial itu pada masa sama berdoa supaya rezeki Mark akan dilimpahkan atas usaha murni yang dilakukan.

Terdahulu, dalam perkongsian awal ketika pulang ke Cebu, tiga hari lalu, pasangan terbabit lebih dahulu menghadiahkan televisyen 62 inci untuk wanita itu.

Pada Mei lalu, penyanyi itu pernah pulang ke Filipina bagi meninjau perkembangan rumah berkenaan yang ketika itu siap 50 peratus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 September 2019 @ 4:27 PM