RITA Rudaini cabar diri pertandingan stagecom All Stars Buka Panggung.
Syanty Octavia Amry
soctavia@hmetro.com.my


PELAKON cantik Rita Rudaini mengakui bahagia dengan kehidupan solo bersama dua anak lelakinya, Airit Rayyan Rizqin, 9, dan Airit Qaqa Arjuna, 7.

Tidak pernah sekali pun terlintas di hati untuk mengganggu kehidupan rumah tangga bekas suami, Aidil Zafuan.

Justeru, dia sendiri keliru dengan sikap segelintir netizen yang menuduh dia masih terbuai dengan kisah lama sedangkan netizen yang sengaja mencetuskan provokasi.

Rita, 43, berkata, sejak berpisah enam tahun lalu, dia bahagia melalui kehidupan bersama dua anaknya, malah apa yang difikirkan kini hanyalah membesarkan mereka dengan baik dan sempurna.

“Saya tidak faham apabila ada yang mengaitkan saya dengan bekas suami setiap kali memuat naik gambar anak-anak di laman Instagram.

“Malah, saya dituduh tidak dapat melupakan kisah lalu sedangkan mereka yang memetik nama bekas suami di ruangan komen.

“Kadang-kadang saya keliru dengan tindakan mereka. Sendiri yang buat andaian, tetapi saya pula dituduh tidak dapat menerima hakikat. Rasa tidak seronok dengan keadaan ini lagipun bekas suami sudah ada kehidupan sendiri,” katanya.

Mengulas tindakannya terhadap komen-komen yang ditinggalkan, Rita berkata, dia ambil pendekatan untuk tidak melayan semua itu.

“Saya tidak pernah balas atau melayan sebarang komen mereka, saya biarkan saja, malah tidak akan menyekat mana-mana pengikut di laman sosial.

“Kalau mereka hendak bergaduh sekali pun biarlah. Lagipun, bukan saya yang memetik nama Aidil di ruangan berkenaan.

“Bila saya biarkan, lama-lama mereka akan diam sendiri,” katanya lagi.

CABAR DIRI

Beralih perihal karier, Rita bakal terbabit dengan pertandingan stagecom yang diberi nama All Stars Buka Panggung yang akan disiarkan di Astro Warna bermula 6 September ini.

Berkongsi mengenai program itu, Rita berkata ini pembabitan sulungnya dalam acara komedi secara langsung.

“Saya mahu mencabar diri dengan mencuba perkara lain selain lakonan. Program ini akan menguji kami sebagai pelakon untuk berlawak di pentas tanpa sebarang skrip.

“Segala yang dilontarkan adalah secara spontan dan saya perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan yang berlaku di atas pentas nanti.

“Diharap pengalaman yang dikutip sepanjang berlakon dapat membantu saya nanti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 26 Ogos 2019 @ 5:01 AM