SATHIA menyeru agar semua pihak saling menghormati bagi mengekalkan keamanan.
Ridzuan Abdul Rahman
mohamadridzuan@hmetro.com.my

PELAWAK Sathia, 58, meminta masyarakat bersatu dan menolak isu perkauman yang melanda negara pada masa ini.

Beliau yang sudah 35 tahun bergelar anak seni mengakui beruntung dilahirkan di Malaysia dan hidup dalam masyarakat yang memupuk muhibah antara kaum.

“Saya seronok kerana kita di bawah satu payung dan hidup harmoni. Pergaulan saya juga tak terbatas dengan hanya satu kaum sahaja.

“Malaysia dihuni rakyat pelbagai kaum. Ibarat pertandingan bola sepak, contohnya Kedah menentang Johor, pasti masing-masing akan sokong negeri sendiri.

“Apabila pasukan Malaysia bertemu negara luar seperti Vietnam, sokongan sudah tentulah kepada pasukan negara,” katanya.

Pelakon yang popular dalam kalangan peminat Melayu menerusi watak Ravi dalam sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tang Tu itu menyeru agar semua pihak saling menghormati bagi mengekalkan keamanan.

“Tidak kira apa bangsa sekali pun, kita kena saling menghormati. Buat apa nak gaduh? Apa yang ditetapkan oleh pemerintah kita terima. Bukan mereka nak buat yang tak bagus pun.

“Ada negara lain yang rakyatnya nak makan pun susah. Kasihan tengok mereka bergaduh sesama sendiri.

“Mujur kita tidak lahir di negara itu. Jadi, sayangilah Malaysia. Saya sudah pusing satu negara termasuk Sabah dan Sarawak. Negara lain mungkin tak banyak pilihan makanan tetapi kita ada macam-macam termasuklah nasi kerabu, mi kolok, sup ekor, dumpling dan roti canai,” katanya.

Mengulas sentimen isu perkauman ditiup oleh segelintir pihak, Sathia enggan mencampuri perkara itu.

“Itu saya tak boleh komen kerana lain orang lain pandangannya. Namun, kalau nak tahu rumah saya kiri kanan orang Melayu. Kami sudah lama berjiran.

“Anak-anak pun diajar berkawan, jaga sensitiviti dan saling menghormati. Sekali pun kami tak pernah gaduh dan hidup aman damai.

“Apabila tiba musim perayaan, kami akan rai dan makan bersama-sama,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 7:02 PM