ANTARA babak dalam filem ‘Ready Or Not’.

FILEM misteri yang penuh dengan plot mencemaskan ini mendapat sentuhan dua pengarah, Matt Bettinelli-Olpin dan Tyler Gillett.

Dari segi jalan cerita, filem berdurasi satu jam 36 minit ini berkisar mengenai Grace lakonan Samara Weaving yang baru berkahwin dengan Alex Le Domas.

Namun, ada satu rahsia yang menjadi tradisi dalam keluarga Le Domas. Alex memilih merahsiakan perkara itu kerana bimbang Grace akan meninggalkan dia sekiranya tahu.

Naratif tidak terlalu meleret dan boleh dikatakan pergerakan antara satu babak ke babak yang lain memang pantas.

Jalan ceritanya juga kuat dan setiap babak digarap dengan sangat baik sekali gus membuatkan penonton ternanti-nanti apa yang akan berlaku dalam babak berikutnya.

Dari latar masa dan tempat, ia berlaku dalam zaman sekarang namun hanya mengehadkan latar tempatnya di dalam rumah agam milik keluarga Le Domas.

Untuk babak aksi, ia tidaklah terlalu banyak yang menyaksikan bagaimana Grace menyelamatkan nyawanya daripada situasi tidak diduga.

Elemen kejutan tentunya ada namun tidak terlalu keterlaluan. Bagi mereka yang ‘lemah’ dengan darah, tentunya filem ini benar-benar mengganggu kekuatan mental anda.

Selain itu, turut diselitkan sedikit elemen lucu untuk melembutkan ketegangan yang berlaku dalam filem itu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:40 AM