SUFIAN Suhaimi.
Sudirman Mohd Tahir
sudirman@hmetro.com.my


KARYA Di Matamu benar-benar memberikan impak besar dalam kerjaya dan peribadi penyanyi Sufian Suhaimi.

Lagu ciptaan Sirkhan dan Rinkarnaen bukan saja cemerlang dalam pasaran muzik tempatan malah menjadi siulan di negara seberang, Indonesia.

Tuah lagu itu juga apabila nama Sufian tercalon dalam kategori Penyanyi Lelaki Popular DuitNow pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) ke-32 yang bakal berlangsung bulan depan.

“Seperti biasa, saya menyerahkan sepenuh kepercayaan kepada peminat.

“Saya tidak berani meletak harapan terlalu tinggi terutama dalam persaingan membabitkan undian peminat.

“Setiap calon yang bersaing mempunyai kekuatan tersendiri. Saya berbangga apabila kembali menjadi pilihan peminat untuk bersaing dalam kategori yang turut menyenaraikan nama otai, Faizal Tahir.

“Siapa pun yang menang nanti, ia rezeki dan sudah semestinya berbalik kepada usaha peminat yang mengundi.

“Kalau menang, ia bonus dan jika sebaliknya, tiada apa yang perlu dikecewakan,” katanya.

Dalam pada peminat masih terbuai dengan lagu Di Matamu, Sufian muncul pula dengan single Mencuba.

Ramai beranggapan lagu itu kurang menyengat dan gagal mengembalikan fenomena yang dicipta Sufian menerusi beberapa single sebelum ini.

“Saya tahu pasti ramai yang membandingkan lagu terbaru saya, Mencuba dengan Di Matamu selain berharap ia mampu menandingi atau menyaingi populariti single terdahulu.

“Sebagai penyanyi, saya hanya mampu berkarya dan memberikan yang terbaik untuk dinilai peminat.

“Saya tidak membiarkan diri tertekan hanya kerana terdesak mahu mengulangi pencapaian Di Matamu.

“Semua itu terserah kepada rezeki. Bagi saya, Mencuba mempunyai kekuatan tersendiri, namun mungkin belum masanya untuk lagu itu mengulangi magis yang pernah dicipta Di Matamu,” katanya.

Sufian berkata, impak sesebuah lagu itu lebih dirasai jika ia dekat dengan perjalanan hidup seseorang.

“Sebagai komposer dan penulis lirik, setiap lagu pasti mempunyai kaitan dengan perjalanan yang mereka lalui.

“Mungkin ia kisah hidup mereka atau pengalaman insan lain yang terdekat.

“Sudut itu memberi nilai tambah kepada sesebuah lagu kerana setiap komposisi umpama naskhah yang bercerita.

“Sesetengah pencipta terbuka berkongsi hidup mereka dengan khalayak, manakala sebahagian lagi lebih selesa menghasilkan karya berbentuk umum.

“Sebagai penyanyi, saya hanya melunaskan tanggungjawab yang diserahkan.

“Sama ada ia diterima atau sebaliknya, semua itu bergantung kepada rezeki,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 Ogos 2019 @ 5:20 AM