FAIZAL Nasir
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@hmetro.com.my


SYARIKAT produksi, Teddy Rox Film mecipta kelainan apabila menganjurkan persembahan mini yang disiarkan secara langsung melalui Facebook dari premis mereka di Kelabu Event Space@Luas.Je, Kota Damansara, Kuala Lumpur, malam tadi.

Persembahan dinamakan Lepak.Jer itu adalah pertama kali dianjurkan dengan peminat boleh menyaksikan program nyanyian tanpa perlu bertandang ke lokasi.

Pengarah Urusannya, Faizal Nasir berkata, idea itu difikirkannya bulan lalu dan mereka menjemput penyanyi nasyid, Fitri Haris sebagai artis undangan pertama.

“Pada persembahan ini, Fitri mendendangkan 10 lagu yang disaksikan 50 peminat di studio. Kami turut menyiarkannya secara langsung di Facebook,” katanya.

Sama seperti persembahan nyanyian yang lain, bayaran tiket dikenakan untuk tontonan di laman sosial namun pada kadar rendah iaitu RM7.

“Kaedah ini memudahkan peminat di luar negara untuk menonton bersama menggunakan telefon bimbit. Selain menjana ekonomi, kami membuka peluang kepada artis lama untuk kembali aktif,” katanya.

Menurut Faizal, selepas ini 10 penyanyi berpengalaman akan mengadakan persembahan itu yang disasarkan sebulan sekali.

“Bagi program ini, kami menggunakan peralatan seperti kamera berteknologi tinggi dan kemudahan Internet berkelajuan tinggi. Kami juga dalam perancangan membina aplikasi dan web sendiri untuk tontonan secara langsung,” katanya.

Beroperasi di premis itu sejak Disember tahun lalu, peminat boleh mendapatkan tiket melalui laman web Luas.Je.

“Sebaik tiket diperoleh, peminat akan dimasukkan ke dalam kumpulan tertutup di Facebook dan boleh menonton persembahan mini secara langsung,” katanya.

Menerusi persembahan pertama itu katanya, kira-kira 100 peminat menyaksikannya di Facebook termasuk dari Singapura dan United Kingdom.

Sementara itu, Fitri melahirkan keterujaannya terhadap program itu yang disifatkannya sebagai sesuatu yang baru.

“Ini adalah persembahan era moden tanpa sempadan. Suatu ketika dulu, peminat yang mahu menyaksikan konsert perlu membeli tiket dan pergi ke lokasi tertentu tetapi kali ini semuanya secara dalam talian dan ia perubahan baru buat golongan selebriti,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Ogos 2019 @ 5:20 PM